
Volvo Cars Malaysia melancarkan Volvo EX90 2026 versi pemasangan tempatan (CKD) dari kilang Shah Alam, Selangor.
Model ini akan menggantikan model import CBU yang diperkenal April tahun lalu.
Dijual pada harga atas jalan tanpa insuran RM428,888, EX90 CKD ini RM14,000 lebih murah berbanding versi CBU yang ditawarkan pada harga RM442,888.

Namun ia hadir dengan peningkatan besar dari segi kuasa, pengecasan dan kelengkapan.
Setiap pembelian disertakan :
- waranti lima tahun tanpa had perbatuan
- waranti bateri 8 tahun tanpa had perbatuan
- servis percuma 5 tahun
Seramai 100 pelanggan pertama turut menerima rebat tunai RM25,000 dan pengecas wallbox percuma.

Perubahan utama EX90 CKD adalah sistem elektrikal baharu 800V menggantikan 400V sebelum ini.
Ini membolehkan pengecasan pantas DC sehingga 350kW berbanding 250kW.
Pengecasan bateri dari 10 peratus ke 80 peratus mengambil masa 22 minit berbanding 30 minit.
Malah tempoh pengecasan 10 minit sudah mampu menambah jarak sehingga 250km.
Dengan bateri sama, jarak gerak WLTP kekal 623km dan pengecas AC 11kW turut dikekalkan.
Kuasa turut meningkat. Dua motor elektrik kini menghasilkan 680 PS dan 870 Nm, naik dari 517 PS sebelum ini.
Pecutan 0-100km/j juga lebih pantas iaitu 4.2 saat berbanding 4.9 saat. Kelajuan maksimum bagaimanapun dikekalkan 180km/j.
EX90 CKD kelihatan sama cuma tanpa benjolan LIDAR pada bumbung kerana penderia itu belum boleh diguna di Malaysia.

Bumbung panoramik pula dikemas kini dengan jenis elektrokromik yang boleh digelapkan.
Di dalam, ia kekal tujuh tempat duduk dengan :
- skrin 14.5-inci Android Automotive
- sistem audio Bowers & Wilkins 25 pembesar suara
- suspensi udara adaptif.
Upholsteri kulit biasa ditingkatkan kepada kulit Nappa pada versi CKD.

EX90 kekal model paling selamat Volvo dengan :
- ADAS lengkap termasuk 5 radar
- 8 kamera dan 16 penderia ultrasonik
- Driver Understanding System dan Occupant Sensing – untuk kesan penumpang tertinggal
Terdapat 5 pilihan warna iaitu Onyx Black, Sand Dune, Crystal White, Vapour Grey dan warna baharu Mulberry Red. Kabin ditawar dalam tema Charcoal Nordico atau Cardamom Nordico.































