Utama Berita Automotif Geely lancar EV Panda Mini Karting buat orang muda

Geely lancar EV Panda Mini Karting buat orang muda

6

Geely Panda Mini Karting Edition versi naiktaraf rasmi dilancarkan di China dan kini dilengkapi dengan bateri LFP buatan CATL.

Harga permulaan bagi model baharu itu ialah CNY49,900 (RM30,070). Bagaimanapun, harga promosi masa terhad ditawarkan pada harga CNY43,900 (RM26,455).

Hatchback comel tiga pintu itu memiliki panjang 3.1 meter dengan jarak tempuh 210km (CLTC) serta berkuasa 40hp.

Versi Karting itu menampilkan gaya kemasan lebih sporty merangkumi lip bambar depan dan spoiler bersaiz besar serta rim 14 inci. Ia merupakan aksesori semata memandangkan kelajuan maksimum Panda Mini itu hanya 100kmj.

Ukuran dimensinya pula adalah 3,150 mm panjang, 1,540 mm (lebar) dan 1,685 mm (tinggi) dengan jarak roda  2,015 mm.

Kabin yang menampilkan dua tona warna dipadankan dengan kelompok instrumen LCD bersaiz 9.2-inci dan skrin sentuh 8-inci.

Selain itu, ia turut didatangkan dengan kamera undur, sensor parkir belakang serta dua beg udara di bahagian hadapan manakala ruang bagasi belakangnya seluas 69 liter.

Kemas kini terbesar pada Geely Panda Mini Karting adalah penggunaan pek bateri LFP 17.2 kWh keluaran CATL, menggantikan pek bateri LFP 17.03 kWh daripada Gotion.

Pihak Geely menyatakan bateri baharu itu melepasi 76 ujian keselamatan. Ia juga menyokong pengecasan pantas DC 22kW yang mengambil masa selama 30 minit daripada 30 hingga 80 peratus. 

Model Panda Mini dipertontonkan di China pada Februari 2023 sebagai jawapan Geely terhadap saingan Wuling Hongguang Mini EV, Chery QQ Ice Cream, dan Changan Lumin.

Berdasarkan data China EV DataTracker, penyerahan domestik kumulatif Panda Mini mencecah 426,704 unit. Namun, Geely hanya menjual 23,377 unit Panda Mini dari Januari hingga Julai 2026, merosot 77 peratus berbanding tempoh yang sama tahun sebelumnya (YoY).

 

TIADA KOMEN

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here