3 mengaku salah tipu cukai kereta import

230

Tiga individu termasuk pemilik syarikat didakwa di Mahkamah Sesyen, Alor Setar, Kedah hari ini atas pertuduhan menggunakan dokumen palsu bagi melakukan penipuan percukaian kereta mewah di Langkawi sehingga menyebabkan kerugian jutaan ringgit kepada kerajaan.

Kesemua tertuduh Yeoh Ee Tat, 56; Mohd Haiqal Mohd Sebrie, 33, dan Teh Wei Li, 52, membuat pengakuan bersalah selepas pertuduhan ke atas mereka dibacakan di depan Hakim Rohatul Akmar Abdullah.



Mengikut kertas pertuduhan, Ee Tat yang juga pemilik syarikat kenderaan import, didakwa dengan curang menggunakan dokumen palsu surat akuan bertarikh 26 Ogos 2018 apabila memasukkan Teong Teck Leong sebagai pemastautin Langkawi bagi membeli Bentley Bentayga.

Tertuduh juga didakwa dengan curang menggunakan dokumen palsu Borang Kastam Perisytiharan Barang-Barang Yang Diimport pada 1 Disember 2021 menyebabkan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) mengenakan bayaran duti sebanyak RM422,461.27 ke atas kenderaan mewah yang mahu dibawa keluar dari Langkawi.

Mohd Haiqal yang bekerja sebagai ‘runner’ syarikat kenderaan import pula didakwa dengan curang menggunakan dokumen Borang Kastam Perisytiharan Barang-Barang Yang Diimport bagi urusan penilaian kereta Ferrari 458 Speciale milik Soh Weng Thiam dan McLaren 650S milik Loke Yoon Mink.

Berikutan pengisytiharan pemilik sebagai pemastautin Langkawi, JKDM mengenakan bayaran duti sebanyak RM299,614.20 ke atas kereta Ferrari dan RM357,393.55 ke atas McLaren bagi dibawa keluar dari Langkawi pada 2021.

Manakala, Wei Li yang bekerja sebagai ‘runner’ syarikat kenderaan import, didakwa dengan curang menggunakan dokumen Borang Kastam Perisytiharan Barang-Barang Yang Diimport bagi urusan penilaian Porsche 911 GT2 RS milik Mubarak Hussain Akhtar Husin.

Berikutan pengisytiharan pemilik sebagai pemastautin Langkawi, JKDM mengenakan bayaran duti sebanyak RM598,442 ke atas kenderaan mewah tersebut bagi dibawa keluar dari Langkawi pada 2021.

Kesemua tertuduh didakwa mengikut Seksyen 471 Kanun Keseksaan, jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara maksimum dua tahun dan denda atau kedua-duanya sekali.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Mohamad Fadhly Mohd Zamry dan Mohd Afif Ali, manakala semua tertuduh diwakili peguam, Mohd Hakim Hamran.

Berikutan pengakuan bersalah semua tertuduh, Rohatul menetapkan semua tertuduh dijatuhkan hukuman denda RM10,000 setiap seorang dan penjara sembilan bulan penjara sekiranya gagal membayar denda berkenaan.

Semua tertuduh kemudian membayar denda berkenaan.

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here