Bajet 2026: RM15.5 bilion hasil rampasan dan penalti badan penguatkuasa sejak 2024

1207

Tahun hadapan, keupayaan badan penguatkuasa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Kementerian Perdagangan Dalam Negeri (KPDN), Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) dan Suruhanjaya Persaingan (MyCC) ditingkatkan melalui latihan serta perolehan aset dengan peruntukan lebih RM700 juta.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata badan penguatkuasa SPRM, PDRM, KPDN, JKDM dan MyCC berjaya memperoleh hasil rampasan dan kutipan penalti hampir RM15.5 bilion.

“Terbaru, PDRM berjaya menumpaskan sindiket haram terancang di Pulau Pinang dan Pelabuhan Klang. Demikian maksud kami tatkala menekankan tatakelola dalam pemerintahan.

“Bayangkan wang yang disakau dan dirompak yang dapat dikembalikan dalam tempoh dua tahun mencecah 15.5 bilion ringgit.

“Tidak dapat dimungkiri segala ketirisan ini telah terbiar sekian lama kerana kurangnya tekad politik dan lemahnya penguatkuasaan,” ujar beliau.

JKDM akan memperkenalkan setem cukai digital dengan ciri keselamatan dipertingkat bagi membendung pemalsuan, serta menangani ketirisan di pintu masuk negara melalui Centralised Screening Complex CCTV.

Ikhtiar e-Invois dilaksanakan secara menyeluruh mulai 2026, serta sistem taksir sendiri duti setem bagi memupuk pematuhan cukai.

HAD CUKAI RM300,000 DI LANGKAWI/LABUAN

Pembayaran balik cukai terlebih bayar juga akan disegerakan. Terdapat pemilik kenderaan mewah yang kian lama mengambil kesempatan pengecualian cukai kenderaan di Langkawi dan Labuan.

Bagi menangani ketirisan tersebut, Kerajaan bercadang supaya pengecualian cukai kenderaan di Langkawi dan Labuan dihadkan kepada nilai kenderaan tidak melebihi RM300,000 berkuatkuasa 1 Januari 2026.

Anwar Ibrahim menyatakan bahawa keputusan itu adalah sebahagian daripada usaha kerajaan untuk membaiki tatakelola dan menutup ruang ketirisan hasil negara.

“Langkah ini diambil tanpa mengenakan cukai tambahan yang membebankan rakyat secara umum.

“Langkah mengehadkan pengecualian cukai ini adalah sebahagian daripada strategi yang lebih besar untuk meningkatkan kutipan hasil Kerajaan Persekutuan, yang dianggarkan mencecah RM343.1 bilion pada tahun hadapan.

“Daripada menambah beban cukai, kerajaan memilih untuk mempergiat usaha membanteras rasuah, mengekang penyeludupan, serta melumpuhkan kartel yang merugikan negara,” ujarnya.

 

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here