
Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Johor menyita 42 kenderaan mewah dan menumpaskan sindiket pengedaran minuman keras tidak bercukai, dengan nilai keseluruhan rampasan termasuk cukai melebihi RM36.9 juta dalam dua operasi berasingan sejak 5 Januari lalu.
Pengarah Kastam Johor, Aminul Izmeer Mohd Sohaimi berkata Bahagian Penguatkuasaan JKDM telah melaksanakan 341 pemeriksaan merangkumi premis gudang berlesen serta rondaan darat menerusi operasi khas Ops Terma sehingga 6 Februari lalu.
Beliau berkata daripada 21 kes yang dibuka dalam Ops Terma, 42 kenderaan mewah pelbagai jenama disita dengan anggaran nilai RM7,663,970 manakala cukai terlibat berjumlah RM14,368,334.

“Jumlah keseluruhan nilai dan cukai bagi kes ini adalah RM22,032,304. Sebanyak empat tangkapan turut dibuat melibatkan pemilik syarikat warga tempatan berumur lingkungan 40 hingga 50 tahun,” katanya.
Kes disiasat di bawah peruntukan Seksyen 65, Seksyen 75 dan Seksyen 135(1) (d) Akta Kastam 1967. Ops Terma turut menyasarkan kenderaan yang diimport secara tidak sah termasuk dari Singapura yang dibawa masuk tanpa permit import sah di bawah Perintah Kastam (Larangan Mengenai Import) 2023.
Dalam kes berasingan, JKDM Johor turut menumpaskan sindiket pengedaran minuman keras tidak bercukai melalui serbuan di sebuah gudang di sekitar Kulai kira-kira 11 malam pada 20 Januari lepas hasil maklumat Cawangan COBRA Ibu Pejabat.






























