
Tahukah anda, selain daripada pelepasan emisi, undang-undang piawai Euro 7 yang bakal dilaksanakan tahun 2026 turut memberikan penekanan pada sistem brek kenderaan.
Peraturan baharu itu akan mewajibkan had penghasilan zarah habuk brek kepada 7 mg/kilometer, atau 27 peratus lebih rendah berbanding had semasa.
Had tersebut akan direndahkan lagi kepada 3 mg/km pada tahun 2035.
Jadi, jalan penyelesaian yang mudah ialah dengan menghasilkan kenderaan elektrik (EV), memandangkan kenderaan sifar emisi lebih banyak bergantung kepada sistem brek regeneratif berbanding sistem berasaskan geseran.
Namun, tidak semua pengeluar melihat idea untuk terus menghasilkan EV sebagai satu cara yang sesuai untuk kelangsungan operasi, memandangkan kadar penyesuaian pelanggan adalah berbeza mengikut pasaran.
Untuk itu, Brembo hadir dengan satu penyelesaian berteknologi tinggi yang dinamakan sebagai rotor Greentell – gabungan perkataan ‘Green’ dan ‘Intelligent’.
Menurut Brembo, sistem ini dikatakan mampu mengurangkan habuk brek terhasil sehingga 90 peratus.
Greentell menggunakan bahan salutan aloi rahsia dwi-lapis yang dikenali sebagai Laser Metal Deposition (LMD) pada permukaan rotor brek, di mana prosesnya disifatkan mirip percetakan 3D.
Proses tersebut akan menggunakan sinar laser untuk mencairkan serbuk logam sebelum cairan logam tersebut disemburkan ke atas permukaan rotor.
Selain mengurangkan penghasilan emisi zarah sebanyak 90 peratus mengikut piawaian WLTP, salutan LMD ini juga dapat mengurangkan kesan kehausan permukaan sebanyak 80 peratus dan mempunyai jangka hayat 20 hingga 30 peratus lebih lama berbanding cakera besi tuang yang tidak bersalut.
Namun, disebabkan rotor Greentell yang lebih nipis berbanding rotor biasa, Brembo mengintegrasikan tanda lusuh berbentuk logo mereka sendiri untuk menentukan bilakah masa yang sesuai untuk menggantikan rotor tersebut.
Produk Greentell disasarkan penggunaannya untuk kereta premium dan berprestasi tinggi.
Buat masa ini, ia hanya eksklusif untuk pasaran Eropah di mana peraturan Euro 7 bakal berkuatkuasa kelak.