
Seorang lelaki warga Pakistan maut selepas motosikal ditunggang dilanggar sebuah treler sebelum digilis dan diseret sejauh 100 meter di KM55, Lebuh Raya Utara-Selatan arah selatan di Kluang, semalam.
Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Bahrin Mohd Noh berkata, kejadian pada jam 12.05 pagi itu mengorbankan Sajjad Ali, 30, yang menunggang Honda EX-5.
“Hasil siasatan awal mendapati kemalangan berlaku ketika kedua-dua kenderaan dari arah Simpang Renggam menghala ke Johor Bahru.
“Siasatan mendapati treler jenis Renault dipandu lelaki berusia 27 tahun itu dipercayai melanggar bahagian belakang motosikal mangsa di lorong kiri jalan.
“Akibat pelanggaran tersebut, mangsa terjatuh dan digilis sebelum diseret sejauh kira-kira 100 meter,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah di kepala dan badan manakalapemandu treler yang berasal dari Nilai, Negeri Sembilan itu tidak mengalami sebarang kecederaan.
Pemandu tersebut ditahan bagi membantu siasatan dan hasil ujian saringan awal air kencing adalah negatif dadah.
“Permohonan reman akan dibuat untuk siasatan lanjut dan kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara melulu sehingga menyebabkan kematian,” katanya.