
Pengerusi Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM), Hasni Mohammad menjelaskan tujuan asal aplikasi navigasi Tuju dibangunkan adalah bagi menambah baik perkhidmatan di lebuh raya bertol dan bukannya untuk bersaing secara langsung dengan Waze.
Penjelasan itu dibuat susulan timbulnya persoalan mengenai langkah kerajaan mempromosikan Tuju sebagai alternatif kepada Waze, berikutan gesaan Perdana Menteri Anwar Ibrahim supaya rakyat Malaysia beralih kepada aplikasi tempatan berkenaan atas faktor keselamatan negara.
“Ia bukan (aplikasi) navigasi macam Waze. Kita hanya buat kerjasama untuk menambah baik kita punya pusat pengurusan trafik,” jelasnya.
Beliau menjelaskan bahawa Tuju diwujudkan sebagai perkhidmatan tambahan bagi pengguna lebuh raya bertol, yang menyediakan kemas kini trafik, maklumat mengenai kawasan rehat, lokasi kamera penguatkuasaan serta bagi menghubungi bantuan kecemasan.
“Tuju memang (menyerupai) sebuah aplikasi navigasi, tetapi skop dan keupayaannya berbanding Waze kini dibangunkan khusus untuk pengguna lebuh raya bertol.
“Jika anda dalam perjalanan di lebuh raya dari Ayer Keroh ke Seremban, aplikasi ini akan dapat memaklumkan anda tentang keadaan trafik sepanjang perjalanan, susur keluar, kawasan rehat dan kemudahan-kemudahan lain,” katanya.
Pada 20 Oktober, Anwar menggalakkan rakyat Malaysia untuk beralih daripada Waze kepada Tuju, dengan menyuarakan kebimbangan mengenai keselamatan maklumat pengguna dan data pergerakan mereka, memandangkan Waze mempunyai kaitan dengan Israel.
Fokus kepada keselamatan lebuh raya

Hasni menyatakan bahawa bidang kuasa LLM terhad kepada lebuh raya bertol yang mana agensi itu sedang berusaha menambah baik pemantauan trafik secara masa nyata serta perkhidmatan keselamatan jalan raya.
Dia mengakui bahawa pusat pengurusan trafik agensi tersebut masih memerlukan penaiktarafan, memandangkan bukan semua lebuh raya menyediakan maklumat trafik kepada LLM.
Jelasnya, Tuju dibangunkan untuk melengkapkan usaha-usaha tersebut khususnya dengan membantu pengguna jalan raya mendapatkan bantuan semasa kecemasan.
“Jika anda terkandas di lebuh raya, anda boleh menggunakan Tuju untuk mencari nombor telefon pihak yang boleh dihubungi serta bantuan yang tersedia,” katanya.
Hasni tidak menolak kemungkinan untuk meluaskan liputan aplikasi itu ke jalan persekutuan, jalan perbandaran, dan jalan kampung, namun menyatakan bahawa perkara ini bergantung kepada keupayaan teknikal dan pembiayaan.
“Mungkin dalam tempoh 10 atau 15 tahun akan datang, ya..kita boleh meluaskannya ke jalan persekutuan, jalan perbandaran, dan jalan kampung.
“Tetapi buat masa ini, tumpuan hanya diberikan kepada lebuh raya bertol,” katanya.
Pertahan perjanjian dengan Prosignal

Hasni turut mempertahankan kerjasama LLM dengan Prosignal susulan timbulnya persoalan mengenai hubungan syarikat itu dengan bekas pengerusi LLM, Abdul Rashid Asari.
Rashid yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Selat Klang sebelum ini menyatakan beliau yang mencadangkan inisiatif tersebut semasa memegang jawatan pengerusi LLM, sebelum menjemput Prosignal untuk melaksanakan projek itu berikutan kelulusan daripada lembaga pengarah.
Beliau mengesahkan bahawa projek tersebut tidak dianugerahkan melalui tender terbuka dan menafikan bahawa hubungan politik mempengaruhi penglibatan Prosignal.
Hasni menegaskan bahawa projek itu diluluskan secara kolektif oleh lembaga pengarah LLM, dan bukannya melalui keputusan sepihak oleh Rashid.
LLM telah menandatangani memorandum persefahaman awal dengan Prosignal pada Mei 2022 ketika Rashid memegang jawatan pengerusi bagi inisiatif Lebuh Raya Pintar yang melibatkan sistem pengurusan lebuh raya digital.
Hasni, yang menggantikan Rashid pada Ogos 2022, mengesahkan bahawa perjanjian awal tersebut dibuat sebelum pelantikannya.
Dia turut merujuk kepada satu perjanjian susulan yang ditandatangani menjelang akhir tahun lalu bagi menambah baik perkhidmatan aplikasi berkenaan.





























