
Permohonan reman terhadap pemandu lori yang terlibat dalam nahas yang mengorbankan enam nyawa di Kampung Baru Pinang Tunggal pada Ahad ditolak Mahkamah Majistret 3 di Sungai Petani.
Permohonan reman itu ditolak oleh Majistret Mohamad Azlan Basri terhadap lelaki berusia 49 tahun berkenaan yang ditahan sejurus selepas kejadian kemalangan.
Siasatan kes kemalangan itu dijalankan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Ketua Polis Kedah, Datuk Adzli Abu Shah sebelum ini memaklumkan bahawa saringan ujian air kencing terhadap pemandu itu didapati negatif dadah.
Bagaimanapun, semakan mendapati lelaki tersebut mempunyai tujuh saman, termasuk empat yang masih belum diselesaikan.
“Namun begitu, dia mempunyai lesen memandu yang sah dan kelajuan lori semasa kejadian hanyalah 60kmj,” katanya.
Menurut Adzli, polis sedang menyiasat semua aspek bagi mengenal pasti punca sebenar kemalangan yang mengorbankan enam nyawa itu.
Proton X50 yang dinaiki enam mangsa maut merupakan kenderaan baharu yang diambil dari pusat jualan beberapa jam sebelum kejadian.
Adzli berkata, pemeriksaan menyeluruh turut membabitkan Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (Puspakom).
Dalam kejadian itu, SUV terbabit yang sedang bergerak dari arah Pinang Tunggal menghala ke Bandar Sungai Petani dilaporkan bertembung dengan sebuah lori yang membawa muatan tanah dari arah bertentangan, menyebabkan enam individu terkorban manakala seorang kanak-kanak perempuan berusia tiga tahun cedera parah.






























