
Ford mahu dunia mempercayai bahawa syarikat itu sedang memperketat kawalan kualiti demi mengurangkan kes panggil balik. Bagaimanapun, angka menunjukkan sebaliknya.
Pengeluar automotif itu masih merekodkan jumlah panggil balik lebih tinggi berbanding pesaingnya. Malah, sekurang-kurangnya satu kes kelewatan mengumumkan panggil balik dan baik pulih telah menyebabkan seorang lelaki di Boston terpaksa menanggung bil pembaikan yang sangat tinggi.
Pada Ogos tahun lalu, Ford Amerika telah mengeluarkan arahan panggil balik untuk 497,624 unit kenderaan melibatkan model Ford Edge (2015-2018) dan Lincoln MKX (2016-2018). Syarikat itu menyatakan hos brek belakang yang fleksibel berisiko pecah dan mengalami kebocoran bendalir.

Tindakan mengeluarkan arahan panggil balik satu langkah yang betul, namun Ford dikatakan tidak agresif dalam menyediakan penyelesaian sebenar. Pada April lalu, pemilik Ford Edge (2017), Paul Lonergan berkata menyedari bendalir bocor dari hos brek belakang SUV miliknya.
Dia kemudian membawa kenderaan itu ke pusat servis untuk dibaiki selepas mendapat tahu tentang kempen panggil balik tersebut pada September.
Tetapi, pihak pengedar memaklumkan kepadanya bahawa pelan penyelesaian rasmi masih belum dikeluarkan oleh pihak pengeluar. Akibatnya, Lonergan terpaksa membayar sendiri kos baik pulih tersebut yang mencecah USD1,854 (RM7,543).
Di bawah peraturan Amerika Syarikat, program panggil balik automotif memerlukan pengeluar membayar semula wang pemilik yang telah membayar kos baik pulih.

Menurut laporan WCVB, Ford telah meminta Lonergan untuk menyerahkan resit bagi pertimbangan pembayaran semula namun masih belum mengesahkan sama ada permohonan itu diluluskan atau sebaliknya.
Malah, jika diluluskan sekalipun dia perlu menunggu sehingga alat ganti pembaikan rasmi tersedia di pasaran.
“Saya tiada wang sebanyak USD1,800 untuk dipinjamkan kepada sebuah perbadanan bernilai berbilion dolar.
“Ia sangat menyakitkan hati kerana saya mungkin tidak akan mendapat semula wang saya,” ujar Lonergan.
Ford pada asalnya menjangkakan proses pembaikan sedia dilaksanakan pada April, namun ia ditangguhkan sehingga September iaitu lebih setahun selepas kes panggil balik itu pertama kali diumumkan.
Isu berkenaan masih menjadi tanda tanya memandangkan Ford seharusnya boleh mendapatkan bekalan hos brek yang berkualiti lebih tinggi tanpa banyak masalah.






























