Utama Berita Automotif PRO-NET bakal dedah varian baharu Proton e.MAS 7 sempena KLIMS 2026

PRO-NET bakal dedah varian baharu Proton e.MAS 7 sempena KLIMS 2026

54

Satu lagi varian baharu bagi Proton e.MAS 7 akan membuat kemunculan pertama kepada orang ramai sempena Kuala Lumpur International Mobility Show (KLIMS) 2026 yang berlangsung dari 11 hingga 21 Jun ini di MITEC.

PRO-NET dalam satu pengumuman berkata, pelancaran itu dibuat bersempena ulang tahun kedua jenama Proton e.MAS, yang kini menjadi jenama kenderaan elektrik (EV) paling laris di Malaysia.

Pameran kali ini juga akan menampilkan barisan mobiliti elektrik paling komprehensif pernah dibawakan kumpulan Proton e.MAS setakat ini.

Antara tarikan utama di ruang pameran Proton e.MAS ialah pratonton varian baharu Proton e.MAS 7 yang akan memberikan gambaran awal mengenai evolusi seterusnya model EV tersebut sebelum pelancarannya ke pasaran.

PRO-NET setakat ini belum mendedahkan sebarang maklumat teknikal atau spesifikasi varian baharu itu dan menyatakan butiran lanjut akan diumumkan kemudian.

Kemunculan model ini dijangka mengukuhkan lagi kedudukan Proton e.MAS 7 yang menjadi antara model EV paling popular di Malaysia sejak diperkenalkan hujung tahun 2024.

Sejak dilancarkan, Proton e.MAS berkembang daripada jenama EV nasional pertama Malaysia kepada peneraju pasaran EV tempatan, disokong rangkaian ekosistem semakin matang serta peningkatan keyakinan pengguna terhadap mobiliti elektrik.

Ketua Pegawai Eksekutif PRO-NET, Zhang Qiang berkata, KLIMS 2026 adalah platform penting untuk memperlihatkan perkembangan yang dicapai Proton e.MAS dalam tempoh dua tahun lalu.

Menurutnya, acara tersebut juga menjadi peluang untuk memberi gambaran kepada rakyat Malaysia mengenai hala tuju masa depan jenama itu.

Selain pratonton varian baharu Proton e.MAS 7, pengunjung juga boleh meneroka keseluruhan rangkaian model Proton e.MAS di Dewan 7, Aras 2, MITEC.

Pameran turut menampilkan teknologi EV terkini serta usaha berterusan syarikat dalam menjadikan mobiliti elektrik lebih mudah diakses dan relevan untuk kegunaan harian rakyat Malaysia.

Kemunculan varian baharu Proton e.MAS 7 di KLIMS 2026 dijangka menjadi antara pengumuman paling menarik dalam segmen EV tempatan tahun ini, khususnya ketika pasaran EV terus berkembang dengan kemasukan pelbagai model baharu.

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here