
Cubaan seorang penunggang motosikal Rohingya melarikan diri daripada pemeriksaan penguatkuasa tidak berhasil apabila berjaya ditahan oleh Unit Penguatkuasa Bermotosikal (Falcon) JPJ Kedah di Jalan Simpang Empat, Alor Setar, pada Isnin.
Dalam operasi penguatkuasaan yang dijalankan, anggota Falcon bertindak pantas mengejar dan menahan suspek sebelum pemeriksaan lanjut dilakukan.
Menurut kenyataan, hasil pemeriksaan mendapati pemandu itu gagal mengemukakan lesen memandu yang sah.
“Susulan kesalahan tersebut, tindakan penguatkuasaan telah diambil mengikut peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa.
“Kenderaan yang dipandu turut disita dan dibawa ke Depoh Simpanan Kenderaan JPJ Alor Setar untuk tindakan lanjut,” jelasnya.
JPJ Kedah menegaskan bahawa operasi penguatkuasaan akan terus dipergiat bagi memastikan pematuhan undang-undang jalan raya serta menjamin keselamatan semua pengguna jalan raya.































