Utama Berita Automotif Diesel catat jumlah penyelewengan tertinggi dalam Op Tiris 4.0

Diesel catat jumlah penyelewengan tertinggi dalam Op Tiris 4.0

155
Gambar hiasan

Sebanyak 740 kes dicatatkan di seluruh negara menerusi Op Tiris 4.0 yang mana cubaan menyeleweng diesel mencatat jumlah tertinggi iaitu 336 kes sejak 16 Mac hingga 3 Jun.

Ketua Pengarah Bahagian Penguatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Datuk Azman Adam berkata operasi bersepadu Op Tiris 4.0 dilaksanakan secara berterusan di kawasan berisiko tinggi.

Menurutnya, sebanyak 59,965 pemeriksaan dilaksanakan di seluruh negara menerusi Op Tiris 4.0 dalam usaha membanteras penyelewengan barang bersubsidi.

“Daripada 740 kes direkodkan, penyelewengan diesel mencatat jumlah tertinggi iaitu 336 kes, diikuti petrol (153 kes), gas petroleum cecair (LPG)(100 kes), dan minyak masak sebanyak 84 kes.

“Nilai keseluruhan rampasan berjumlah RM30.33 juta dengan tangkapan 253 individu. Sementara itu, gula merekodkan 46 kes, manakala tepung gandum paling rendah dengan 21 kes,” katanya.

Menurutnya, antara kawasan berisiko tinggi yang menjadi tumpuan dalam Op Tiris 4.0 termasuk stesen minyak, pangkalan haram, laluan tikus, jeti dan sekitar kawasan sempadan.

Jelasnya, beberapa modus operandi dikesan digunakan sindiket bagi menyeludup keluar barang kawalan antaranya mengubahsuai kapasiti tangki minyak kepada lebih besar atau memindahkan bahan api bersubsidi di lokasi stor transit sebelum diseludup.

“Sindiket juga menggunakan dokumen atau urusan pembelian yang mengelirukan bagi menyembunyikan tujuan sebenar pembelian bahan api terbabit. 

“Selain itu, sindiket turut menggunakan beberapa buah kenderaan yang berulang-alik merentasi sempadan dengan membawa kuantiti bahan kawalan yang kecil bagi mengelakkan dikesan oleh pihak berkuasa.

“Meskipun sindiket sentiasa memperbaharui dan mempelbagaikan modus operandi mereka untuk mengelakkan pengesanan, pihak berkuasa kekal komited untuk memperkukuh tindakan penguatkuasaan agar dapat dibendung secara berkesan serta kepentingan negara terus terpelihara,” katanya.

Azman berkata, operasi penguatkuasaan dijalankan berdasarkan maklumat risikan termasuk aduan orang ramai berhubung kegiatan penyelewengan barang bersubsidi seperti diesel serta petrol.

Kerjasama kukuh antara KPDN dan Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia, dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) serta agensi-agensi lain membantu dalam membanteras penjenayah terbabit.

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here