Utama Berita Automotif GWM TANK kuasai Rali Taklimakan

GWM TANK kuasai Rali Taklimakan

6

Penggemar dunia sukan ekstrem off-road pasti melihat Rali Taklimakan sebagai antara trek yang mencabar dan cukup dihormati.

Acara berlangsung 17 hari, merangkumi perjalanan 7,500 kilometer merentasi padang pasir, laluan berbatu, sungai serta suhu ekstrem memberi ujian sebenar terhadap ketahanan jentera dan pemandu ke peringkat maksimum.

Edisi 2026 menyaksikan peserta berdepan 13 peringkat khas perlumbaan dengan lebih 3,400 kilometer laluan kompetitif yang dianggap antara paling sukar dalam sejarah penganjuran.

Antara cabaran paling terkenal termasuk SS3 sepanjang 468 kilometer, iaitu laluan tunggal terpanjang dalam tempoh enam tahun kebelakangan ini, selain dua peringkat yang dikenali sebagai Devil Double yang sering mencatat kadar penamatan perlumbaan paling rendah dalam kalangan peserta.

Keadaan begitu mencabar itu bukan halangan buat GWM yang berjaya mencipta pencapaian luar biasa dengan menyapu bersih semua kategori utama T2 kenderaan produksi.

Pengeluar dari China itu merangkul T2.E New-Energy Manufacturers’ Cup, T2.1 ICE Manufacturers’ Cup serta T2.3 Production Club Cup.

Jentera yang menjadi tulang belakang kejayaan tersebut ialah GWM TANK 700 Hi4-T.

Model tersebut berjaya meraih 11 kemenangan peringkat sepanjang perlumbaan, sekali gus membuktikan kemampuan sistem pacuan empat roda, ketahanan casis serta kecekapan teknologi hibrid yang digunakan.

Lebih mengagumkan, kesemua jentera rasmi GWM berjaya menamatkan perlumbaan tanpa sebarang kegagalan mekanikal.

Pencapaian ini cukup signifikan kerana kenderaan yang bertanding masih menggunakan struktur asas kenderaan produksi mengikut peraturan FIA kategori T2.

Casis, badan kenderaan serta sistem trenkuasa utama dikekalkan hampir sama seperti model dibangunkan di kilang.

Kejayaan tersebut bukan sekadar hasil modifikasi perlumbaan semata-mata, tetapi lahir daripada asas kejuruteraan kukuh di peringkat pembangunan produk lagi.

Walaupun model digunakan dalam perlumbaan ialah TANK 700 Hi4-T, manfaat daripada program pembangunan ekstrem seperti ini turut disalurkan kepada model lain dalam keluarga TANK.

Pengarah Urusan GWM Malaysia, Cui Anqi berkata, kejayaan di Rali Taklimakan mencerminkan standard kejuruteraan, kepakaran off-road dan falsafah pembangunan produk yang menjadi asas kepada keseluruhan keluarga TANK.

Sementara itu, Ketua Pegawai Operasi GWM Malaysia, Roslan Abdullah berkata, pelanggan Malaysia menikmati manfaat keupayaan tersebut menerusi kenderaan seperti GWM TANK 300 HEV dan GWM TANK 500 HEV yang dibangunkan dengan komitmen sama terhadap ketahanan, keupayaan dan keyakinan pemanduan.

“Sama ada mengharungi kesesakan bandar, memulakan perjalanan jauh bersama keluarga atau meneroka destinasi off-road, objektifnya tetap sama iaitu memberikan keyakinan dalam setiap perjalanan,” katanya.

GWM kini mempertaruhkan dua model utama dalam keluarga TANK iaitu TANK 300 HEV dan TANK 500 HEV.

TANK 300 HEV menawarkan gabungan unik antara keupayaan off-road sebenar, teknologi hibrid serta penggunaan harian yang praktikal.

Dibina menggunakan platform body-on-frame, model ini menjadi pilihan bagi mereka yang mahukan SUV lasak tetapi masih selesa digunakan setiap hari.

Bagi mereka yang mahukan lebih kemewahan dan ruang, TANK 500 HEV tampil sebagai model flagship menggabungkan teknologi premium, keselesaan tinggi dan keupayaan off-road yang serius dalam pakej SUV bersaiz besar.

Menurut GWM, data dan pengalaman yang diperoleh daripada perlumbaan ekstrem seperti Taklimakan membantu meningkatkan pembangunan sistem penyejukan, ketahanan trenkuasa, talaan suspensi, penghantaran kuasa serta kebolehpercayaan keseluruhan kenderaan.

Ia menjadi makmal bergerak yang membolehkan pengeluar menguji teknologi dalam keadaan paling ekstrem sebelum diaplikasikan kepada pengguna biasa.

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here