
Zeekr Malaysia membuka tempahan bagi model baharu 2026 Zeekr X bagi memenuhi permintaan pasaran tempatan.
SUV elektrik premium urban itu didatangkan dengan peningkatan prestasi, keselesaan serta teknologi terkini bagi varian Premium dan Flagship.
Bertemakan Boldly Yours, model terkini itu menampilkan rekaan dalaman dikemas kini bersama pelbagai ciri baharu.
Ia sekali gus mengukuhkan lagi imej Zeekr X sebagai SUV elektrik moden yang menumpukan kepada gaya hidup premium dan teknologi pintar.

Antara ciri menarik termasuk pintu hadapan automatik, peti sejuk terbina dalam, sistem interaktif pintar pada tiang-B, stereng pelbagai fungsi dengan butang sentuhan serta ruang but lebih praktikal berkapasiti 404 liter.
Bagi varian Flagship AWD, ia memiliki kuasa sehingga 365kW dan tork 573Nm, membolehkannya memecut dari 0 hingga 100 km/j dalam hanya 3.7 saat.
Model ini turut dibekalkan pengecas AC onboard 22kW yang membolehkan pengecasan penuh dilakukan sekitar empat jam, selain jarak gerak sehingga 445km mengikut standard WLTP.
Varian itu turut dilengkapi tempat duduk hadapan dengan fungsi urut dan pengudaraan, kabin hitam bersama tali pinggang merah, rim forged hitam 20-inci serta pilihan warna eksklusif baharu seperti Onyx Black dan Matte Khaki Green.
Zeekr X Premium RWD menawarkan kuasa 250kW dan tork 373Nm dengan jarak gerak sehingga 415km WLTP.

Ia menggunakan pengecas onboard 11kW yang membolehkan pengecasan AC penuh sekitar 7.5 jam.
Varian Premium turut menerima paparan head-up display (HUD), kabin dwi-tona putih dan hitam, rim 19-inci baharu serta pilihan warna eksklusif Porcelain Pink yang tampil lebih moden dan bergaya.
Spesifikasi ringkas 2026 Zeekr X:
Varian Premium RWD
- Kuasa: 250kW
- Tork: 373Nm
- Jarak gerak WLTP: 415km
- Pengecas onboard AC 11kW
- Masa pengecasan AC: sekitar 7.5 jam
Rim 19-inci baharu - HUD
- Kabin dwi-tona putih dan hitam
- Warna eksklusif Porcelain Pink
Varian Flagship AWD
- Kuasa: 365kW
- Tork: 573Nm
- 0-100 km/j: 3.7 saat
- Jarak gerak WLTP: 445km
- Pengecas onboard AC 22kW
- Masa pengecasan AC: sekitar 4 jam
- Tempat duduk berurut dan pengudaraan
- Kabin hitam dengan tali pinggang merah
- Rim forged hitam 20-inci
- Warna eksklusif Onyx Black dan Matte Khaki Green
Dari aspek keselamatan, Zeekr X mengekalkan pakej lengkap ADAS bersama tujuh beg udara.

Sistem itu menggunakan lima kamera HD, lima radar gelombang milimeter dan 12 sensor ultrasonik bagi meningkatkan tahap keselamatan serta kesedaran pemandu ketika memandu.
Untuk pasaran Malaysia, 2026 Zeekr X dijangka ditawarkan pada harga antara RM160,000 hingga RM180,000.
Orang ramai boleh melihat sendiri model tersebut dengan lebih dekat di Kuala Lumpur International Mobility Show (KLIMS) yang berlangsung di MITEC, Kuala Lumpur dari 12 hingga 21 Jun ini.
Tempahan juga boleh dibuat di bilik pameran Zeekr terpilih di seluruh negara.






























