
GWM Malaysia mengumumkan pelantikan strategik baharu dalam barisan kepimpinan dalam usaha memperkukuh komitmen jangka panjang syarikat terhadap pasaran Malaysia.
Ini termasuk pengembangan perniagaan, program penyetempatan serta pembangunan sektor pembuatan tempatan.
Langkah itu dibuat ketika pengeluar automotif berkenaan terus memperluaskan kehadirannya menerusi rangkaian produk merangkumi SUV, MPV mewah dan kenderaan tenaga baharu di bawah jenama HAVAL, TANK, ORA dan WEY.

Antara pelantikan diumumkan membabitkan Stan Li Hao sebagai Pengarah Urusan (Operasi Komersial) dan Cui Anqi sebagai Pengarah Urusan (Hubungan Korporat).
Struktur kepimpinan baharu itu disokong oleh Ketua Pegawai Operasi GWM Malaysia, Roslan Abdullah, yang terus memainkan peranan penting dalam memacu hala tuju strategik dan pertumbuhan perniagaan syarikat menerusi pengalaman luasnya dalam industri automotif.
Stan Li Hao memiliki lebih 12 tahun pengalaman dalam industri automotif di rantau ASEAN, khususnya dalam pembangunan pasaran serantau, strategi pertumbuhan dan pengembangan jenama.
Sementara itu, Cui Anqi terlibat dengan GWM Malaysia sejak peringkat awal penubuhan dan memainkan peranan penting dalam usaha penyetempatan, pembangunan pembuatan serta pertumbuhan operasi syarikat di Malaysia.
GWM Malaysia dalam kenyataan berkata, barisan pengurusan diperkukuh ini mencerminkan kesungguhan syarikat untuk terus melabur dan berkembang di Malaysia.
Pelantikan itu dijangka membantu mempercepatkan pengembangan perniagaan, memperkukuhkan inisiatif penyetempatan, meningkatkan keupayaan pembuatan serta mengangkat lagi kedudukan jenama GWM dalam pasaran tempatan.

Pada masa sama, langkah berkenaan menunjukkan fokus berterusan syarikat dalam membangunkan ekosistem automotif tempatan yang lebih kukuh sambil mengukuhkan kedudukannya sebagai jenama mobiliti berteraskan teknologi untuk pengguna tempatan.
Pengumuman ini turut menarik perhatian kerana GWM Malaysia secara jelas menyebut mengenai komitmennya terhadap pertumbuhan sektor pembuatan tempatan sebagai sebahagian daripada strategi jangka panjang syarikat di negara ini.
GWM Malaysia menawarkan beberapa model termasuk ORA Good Cat, HAVAL H6 HEV, TANK 300 dan TANK 500, dengan syarikat dilihat terus memperluaskan kehadirannya dalam segmen kenderaan tenaga baharu serta SUV premium di Malaysia.






























