
Bersempena Kuala Lumpur International Mobility Show (KLIMS) 2026, Honda Malaysia secara rasmi memperkenalkan Honda Prelude serba baharu, sekali gus menghidupkan semula salah satu nama paling ikonik dalam sejarah jenama itu.
Memasuki generasi keenam, Prelude dibangunkan berasaskan konsep Unlimited Glide yang menggabungkan keseronokan pemanduan, keselesaan premium dan kepraktisan untuk kegunaan harian dalam sebuah coupe moden.
Menurut Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Honda Malaysia, Narushi Yazaki, teknologi hibrid kekal sebagai antara laluan paling realistik dan berkesan ke arah kelestarian alam sekitar, sambil mengekalkan prestasi, kemudahan serta keseronokan pemanduan yang diharapkan pelanggan.
Beliau berkata pengenalan Prelude baharu mengukuhkan lagi komitmen Honda terhadap pembangunan teknologi hibrid menerusi barisan model e:HEV yang kini merangkumi segmen sedan, hatchback dan SUV.
Rekaan Berasaskan Konsep Unlimited Glide
Dari segi penampilan, Prelude baharu diinspirasikan oleh pergerakan lancar sebuah pesawat luncur, yang diterjemahkan menerusi gayaan fastback serta garisan badan yang kemas dan anggun.
Rekaan itu mencerminkan konsep Unlimited Glide yang menekankan kebebasan, keanggunan dan pergerakan dinamik bagi menarik minat peminat pemanduan serta pengguna gaya hidup moden.
Honda turut menghasilkan garis rekaan yang berterusan dari bumbung hingga ke pintu belakang dengan menyepadukan antena radio bercetak kaca secara terus pada cermin belakang.
Bahagian luaran menampilkan gril Hitam Krom, lampu utama LED, lampu belakang LED dengan lensa merah dan pemegang pintu jenis rata.
Penampilan tersebut diperkemaskan lagi dengan riasan biru pada bahagian bawah tengah bampar hadapan dan belakang.
Karakter sporti turut diserlahkan menerusi penggunaan rim aluminium 19 inci yang menempatkan angkup brek Brembo berwarna biru.
Kabin Gliding Cockpit
Di bahagian dalaman, Prelude menggunakan rekaan Gliding Cockpit yang mewujudkan hubungan lebih semula jadi antara pemandu, penumpang dan kenderaan.
Susun atur kabin direka untuk meningkatkan fokus pemandu tanpa mengorbankan keselesaan, sambil menggabungkan teknologi moden dan rekaan yang bersih bagi menghasilkan pengalaman perjalanan yang lebih santai.
Kerusi hadapan turut direka dengan fungsi berbeza mengikut kedudukan.
Kerusi pemandu memberi penekanan kepada penglibatan dan kawalan ketika memandu, manakala kerusi penumpang mengutamakan keselesaan serta kemudahan keluar masuk.
Sistem infotainmen menggunakan skrin Advanced Display Audio bersaiz sembilan inci dengan Google Built-in yang merangkumi Google Assistant, Google Maps dan Google Play.
Sistem audio Bose Premium Sound System pula disediakan untuk pengalaman audio yang lebih premium.
Meneruskan kepakaran Honda dalam pengurusan ruang kabin, coupe sport itu menawarkan ruang kargo 264 liter yang mampu memuatkan dua buah bagasi bersaiz sederhana.
Rangkaian Kuasa e:HEV Dengan Teknologi S+ Shift
Prelude baharu menggunakan sistem hibrid e:HEV yang menggabungkan enjin 2.0 liter empat silinder kitaran Atkinson bersesaran 1,993 cc dengan sistem suntikan bahan api terus.
Enjin tersebut menghasilkan 143PS pada 6,000 rpm dan 189Nm pada 4,500 rpm, manakala motor elektrik menjana 184PS pada 5,000 hingga 6,000 rpm serta 315Nm pada 0 hingga 2,000 rpm.
Kuasa disalurkan ke roda menerusi transmisi Electric Continuously Variable Transmission (e-CVT).
Honda turut memperkenalkan teknologi S+ Shift buat pertama kali dalam barisan model Honda Malaysia.
Sistem hibrid dipacu motor itu mengawal putaran enjin secara tepat ketika pecutan dan nyahpecutan bagi menghasilkan respons pemanduan yang lebih langsung serta rasa pertukaran gear yang lebih tajam.
Sistem tersebut turut menyelaraskan penghantaran kuasa, Active Sound Control (ASC) dan paparan dinamik pada meter kuasa bagi mewujudkan pengalaman pemanduan yang lebih mengasyikkan serta meningkatkan hubungan antara pemandu dan kenderaan.
Dari sudut prestasi, Prelude mampu mencapai kelajuan maksimum 188 km/j dan memecut dari 0 hingga 100 km/j dalam masa 8.2 saat.
Penggunaan bahan api pula pada kadar 4.2 liter bagi setiap 100 km.
Empat Mod Pemanduan
Prelude baharu dilengkapi tiga mod pemanduan utama iaitu Sport, GT dan Comfort yang dipertingkatkan lagi melalui teknologi S+ Shift.
Mod Sport meningkatkan tindak balas pengendalian dan kestabilan bagi memberikan penglibatan pemandu yang lebih maksimum.
Mod GT menawarkan keseimbangan antara keselesaan premium, kestabilan dan prestasi untuk perjalanan jarak jauh.
Mod Comfort pula direka untuk pemanduan yang lebih santai dengan penghantaran kuasa yang lebih lancar serta tindak balas stereng yang lebih ringan.
Selain itu, mod Individual membolehkan pemandu menyesuaikan tetapan rangkaian kuasa, stereng, suspensi, paparan meter dan bunyi enjin mengikut citarasa masing-masing.
Coasting Control Operation Pertama Pada Model Honda
Buat pertama kali pada sebuah model Honda, Prelude dilengkapi fungsi Coasting Control Operation.
Ciri tersebut membolehkan kenderaan memperlahankan kelajuan secara lebih lancar sekali gus mengurangkan keperluan pemandu untuk kerap beralih antara pedal brek dan pedal pendikit.
Casis Berinspirasikan Type R
Prelude baharu menggunakan beberapa teknologi casis yang diambil daripada Type R termasuk suspensi hadapan dual-axis strut dan Adaptive Damper System.
Gabungan tersebut direka untuk memberikan pengendalian yang lebih tepat serta meningkatkan keyakinan pemandu.
Turut disediakan ialah Agile Handling Assist (AHA) yang membantu memaksimumkan kestabilan kenderaan terutama ketika mengambil selekoh atau melakukan gerakan mengelak halangan.
Honda SENSING dan Sistem Keselamatan
Dari aspek keselamatan, Prelude dilengkapi pakej Honda SENSING yang merangkumi:
- Sistem Brek Mitigasi Pelanggaran (CMBS) dengan Amaran Pelanggaran Hadapan
- Sistem Mitigasi Keluar Jalan dengan Amaran Keluar Lorong
- Kawalan Jelajah Adaptif (ACC)
- Sistem Mengikut Kenderaan pada Kelajuan Rendah (LSF)
- Sistem Bantuan Kekal Lorong (LKAS)
- Lampu Tinggi Adaptif
Turut disediakan ciri keselamatan aktif dan bantuan pemanduan lain seperti:
- Sistem Maklumat Titik Buta
- Pemantau Trafik Silang
- Pemantau Perhatian Pemandu
- Sistem Redaman Adaptif dengan Sensor
- Sistem Brek Pasca-Pelanggaran
- Sistem Bantuan Kestabilan Kenderaan (VSA)
- Sistem Brek Pegang Automatik (ABH)
- Sistem Bantuan Mula Mendaki (HSA)
- Isyarat Hentian Kecemasan (ESS)
- Sistem Brek Anti-Kunci (ABS) & Agihan Brek Elektronik (EBD)
Ciri keselamatan pasif, sekuriti, dan ketersambungan lain termasuk:
- Sistem Perlindungan Beg Udara: Beg udara SRS hadapan tunggal, beg udara sisi (hadapan), beg udara tirai sisi (jenis roll over) dan beg udara lutut (hadapan)
- Struktur keselamatan badan G-CON
- Sistem Sensor Parkir (4 sensor hadapan, 4 sensor belakang) & Kamera Undur
- Peringatan tali pinggang keledar depan/belakang & peringatan tempat duduk belakang
- Sokongan ISOFIX dan sistem penggera keselamatan
- Honda CONNECT yang menyediakan fungsi telematik keselamatan, sekuriti dan kemudahan
Spesifikasi Honda Prelude Malaysia 2026
- Enjin: 2.0 liter 4 silinder DOHC Atkinson Cycle, 1,993 cc
- Kuasa enjin: 143PS @ 6,000 rpm
- Tork enjin: 189Nm @ 4,500 rpm
- Motor elektrik: 184PS (135kW)
- Tork motor: 315Nm
- Transmisi: e-CVT
- Kelajuan maksimum: 188 km/j
- Pecutan 0-100 km/j: 8.2 saat
- Penggunaan bahan api: 4.2L/100 km
- Panjang x lebar x tinggi: 4,522 mm x 1,880 mm x 1,355 mm
- Jarak roda: 2,605 mm
- Berat: 1,469 kg
- Kapasiti but: 264 liter
- Roda: Rim aluminium 19 inci
- Warna: Winter Frost Pearl, Rallye Red, Crystal Black Pearl
- Harga: RM278,000





































