
Pendaftaran paten terbaharu daripada Autoliv mendedahkan rekaan beg udara generasi baharu yang dikhususkan untuk motosikal.
Rekaan terbaharu ini menawarkan liputan yang lebih menyeluruh sewaktu impak pelanggaran kepada penunggang dalam apa jua jenis kemalangan.
Lakaran paten menunjukkan bentuk beg udara yang membaluti tubuh penunggang, sesuatu yang belum pernah ditawarkan pada sistem sedia ada.
Seperti sistem automotif, beg udara motosikal Autoliv menggunakan sistem penderia untuk mengesan impak pelanggaran sebelum mengaktifkan penjana gas yang mengembangkan beg udara dalam sekelip mata.
Proses nyah-kembang ini menyerap tenaga impak sebelum sampai kepada penunggang, sekali gus mengurangkan risiko kecederaan.
Seperti generasi sebelumnya, sistem ini paling ideal untuk motosikal dengan posisi tunggangan tegak seperti skuter, tourer dan cruiser.
Ia tidak sesuai digunakan pada sportbike disebabkan posisi tunggangan condong ke hadapan meletakkan kepala penunggang lebih dekat dengan titik impak.
Ruang pemasangan juga lebih terhad, dan beg udara perlu mengembang jauh lebih cepat. Tambahan pula, penunggang sportbike sering mengubah posisi badan ketika mengambil selekoh, menjadikan rekaan beg udara yang konsisten sukar dicapai.
Teknologi beg udara motosikal sudah digunakan sejak dua dekad lalu menerusi model Honda Goldwing.
Namun, faktor penghalang seperti kos dan permintaan menyebabkan ia menjadi kurang popular di mana kebanyakan penunggang lebih sanggup berbelanja besar untuk helmet dan jaket perlindungan.
Pengeluar perlu melaksanakan inisiatif dengan memperluaskan penawarannya pada lebih banyak model supaya ia dapat diterima oleh lebih ramai pengguna.































