
Great Wall Motor bakal memasarkan motosikal berenjin 8-silinder di Amerika Syarikat, lapor laman The Autopian.
Motosikal yang dikenali dengan nama Souo S2000 itu dijangka mampu memberikan saingan kepada Honda Goldwing dengan tetapan enjin boxer 2.0 liter dan transmisi klac berkembar 8-kelajuan.
Ini merupakan satu berita yang cukup menarik memandangkan GWM sendiri tidak mempunyai kehadiran di pasaran tersebut buat masa ini disebabkan oleh duti import yang dikenakan.
Enjin 2.0 liter itu mampu menjana kuasa setinggi 154 hp dan 190 Nm, dengan berat sekitar 461 kg dan turut dilengkapi dengan gear undur.
Antara ciri moden yang dimuatkan termasuklah skrin paparan 12.3 inci yang dikuasakan cip pemprosesan Qualcomm SA8155P Snapdragon, sokongan kemas kini OTA, penderia parkir belakang, pemanas bar hendal dan pelana, penghadang angin boleh laras elektrik, kawalan jelajah serta sistem audio 8 pembesar suara.
Sebagai perbandingan, Honda Goldwing mempunyai enjin enam-silinder dengan kuasa 125 hp dan 176 Nm, namun jentera itu mempunyai kelebihan dari segi berat badan yang lebih ringan (beza hampir 90 kg).
Di Malaysia, jentera Souo S2000 turut membuat kemunculan rasmi pada tahun lepas oleh pengedar rasminya Mforce Bike Holdings.






























