
Kembar Perodua Ativa, iaitu Toyota Raize merupakan model SUV terbaharu yang dilapor mendapat lencana GR Sport di pasaran Indonesia.
Penawaran pakej GR Sport itu ternyata mampu menjadikan penampilan Raize lebih sporti dengan padanan rim 17 inci, bampar hadapan yang disemak semula, serta pelekat hiasan pada tiang C.
Bahagian pintu tailgate pula menampilkan emblem GR Sport, diikuti dengan penambahan pada bampar belakang.
Toyota turut menawarkan opsyen pemasangan perumah cermin sisi gaya karbon, visor sisi, pelindung pemegang pintu dan juga pelindung plastik pada bahagian sisi.
Ruang kabin turut diberikan imej yang lebih sporti dengan roda stereng berlogo GR, butang mod “Power”, logo GR pada tombol gear, serta kemasan jahitan kontras.
Sayang sekali, imej sporti Raize GR Sport ini tidak disekalikan dengan naik taraf kuasa.
Bermakna, ia masih kekal dengan enjin tiga silinder sebaris 1.0 liter turbo menghasilkan 97 hp dan 140 Nm yang dipadankan dengan transmisi CVT.
Raize GR Sport juga tidak didatangkan dengan talaan suspensi unik seperti yang ditawarkan pada mana-mana model GR Sport lain.
Toyota Raize GR Sport ini dijual pada harga bermula dari Rp 292,100,000 (RM69,829).































