
Chery Omoda 5 atau sekarang ini dikenali sebagai Chery 05 di antara produk dari China yang menggegarkan pasaran tempatan.
Reka bentuknya menonjol dengan gaya futuristik dan pada 2024 Chery menyusul dengan model elektrik Omoda E5.
Seiring dengan trend super hibrid yang menawarkan jarak pemanduan melebihi 1,000 km, kini muncul satu lagi model menarik iaitu OMODA 5 SHS-H yang baru sahaja diperkenalkan di United Kingdom (UK).
Pengenalan model hibrid penuh ini melengkapkan pilihan sedia ada yang terdiri daripada varian petrol dan elektrik.
Untuk makluman, pengguna tempatan turut boleh merasa pemanduan hibrid jarak jauh melalui teknologi Chery Super Hybrid (CSH) yang dilengkapi pada Tiggo 7 PHEV dan Tiggo 8 PHEV yang sudah ditawarkan secara rasmi.
Rangkaian Kuasa
OMODA 5 SHS-H menggunakan sistem hibrid pengecasan kendiri (self-charging hybrid) yang tidak memerlukan pemandu menggunakan plug pengecas seperti kenderaan hibrid plug-in.
Ini memberikan kemudahan kepada pengguna yang mahukan kecekapan tenaga tanpa perlu mengubah tabiat pemanduan harian mereka.
Sistem rangkaian kuasa ini terdiri daripada enjin 1.5 liter turbo petrol yang dipadankan dengan transmisi automatik Dedicated Hybrid Transmission atau DHT.
SUV ini mampu memecut dari 0 ke 100 km/j dalam masa hanya 7.9 saat.
Dari segi kecekapan, penggunaan bateri 1.83 kWj dan tangki bahan api berkapasiti 51 liter membolehkan OMODA 5 SHS-H mencapai jarak pemanduan melebihi 1,046 km (WLTP).
Rekaan Luaran dan Pilihan Warna
Secara visual, OMODA 5 SHS-H tampil dengan gayaan rupa baharu (facelift) seperti yang dilancarkan di Indonesia pada tahun lalu.
Model ini dilengkapi gril hadapan dan reka bentuk bampar baharu, serta gayaan rim aloi yang telah dikemas kini untuk tahun 2026.
Pelanggan di UK boleh memilih daripada lima warna luaran yang berbeza iaitu Galena Silver, Garnet Red, Obsidian Black, Selenite White dan Tourmaline Grey.
Selain itu, kemasan cat dua tona juga ditawarkan pada pilihan warna yang terpilih bagi memenuhi cita rasa pengguna.
Kelengkapan Mengikut Varian
OMODA 5 SHS-H ditawarkan dalam dua varian iaitu Knight dan Noble.
Setiap tahap kemasan direka untuk memenuhi keutamaan pelanggan yang berbeza dengan perincian seperti berikut:
OMODA 5 SHS-H Knight
- Rim aloi 18 inci
- LED lamp system
- Dua paparan digital 12.3 inci
- Sistem Apple CarPlay dan Android Auto tanpa wayar
- Kawalan suara pintar
- Rangkaian sistem keselamatan dan bantuan pemandu termaju ADAS yang komprehensif
OMODA 5 SHS-H Noble
Varian ini berdasarkan varian Knight dengan tambahan ciri yang lebih memfokuskan kepada aspek keselesaan dan teknologi premium:
- Kamera pandangan sekeliling 540 darjah
- Sistem audio premium SONY dengan 8 pembesar suara
- Lampu suasana
- Tempat duduk hadapan dengan fungsi pemanas dan pengudaraan
Harga Jualan UK
Harga jualan OMODA 5 SHS-H bermula daripada £25,740 (RM139,974) untuk varian Knight manakala varian Noble pula ditawarkan pada harga £29,240 (RM158,995).
OMODA&JAECOO mempunyai 101 rangkaian pengedar di seluruh UK dan tempahan dibuka bermula Mac 2026.
Setiap pembelian didatangkan bersama jaminan menyeluruh selama 7 tahun atau 100,000 batu (160,934 km) serta waranti bateri selama 8 tahun atau 100,000 batu (160,934 km).
Ringkasan Spesifikasi OMODA 5 SHS-H
- Enjin 1.5 liter turbo hibrid penuh
- Transmisi automatik DHT
- Kuasa maksimum 201 hp (150 kW)
- Bateri 1.83 kW
- Pecutan 0 ke 100 km/j dalam 7.9 saat
- Jarak pemanduan melebihi 1,046 km
- Tangki bahan api 51 liter
- Kecekapan bahan api sehingga 22.5 km bagi setiap liter


































