
Pemandu yang mengakibatkan kematian anggota polis dalam kemalangan di Jalan Sultan Azlan Shah atau lebih dikenali Tiger Lane di Ipoh, pada Rabu sudah berjaya ditahan.
Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Abang Zainal Abidin Abang Ahmad berkata, pesara berusia 80 tahun itu ditahan di pekarangan pejabat Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah Ipoh.
Wanita warga emas tersebut dikatakan melarikan diri sejurus kemalangan dan meninggalkan Perodua Myvi dipandunya di tempat kejadian.
“Ujian saringan awal yang dijalankan mendapati wanita warga emas itu negatif dadah. Kes akan disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.
Terdahulu, Koperal Mohd Hafizan Othman, 33, yang menunggang motosikal itu kemalangan ketika dalam perjalanan ke tempat kerja di Balai Polis Kampung Rapat.
Kemalangan dipercayai berlaku apabila Perodua Myvi dipandu warga emas berkenaan dari arah Jalan Lengkok Harimau cuba membelok ke kanan di kawasan yang tidak dibenarkan, sehingga melanggar mangsa yang berada di laluan sah.





























