
Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat (AS) bersama Suruhanjaya Dagangan Niaga Hadapan Komoditi sedang menyiasat beberapa urus niaga pasaran minyak mencurigakan, berlaku sejurus sebelum kenyataan penting dikeluarkan oleh Washington dan Tehran berhubung konflik di Iran.
Siasatan itu melibatkan sekurang-kurangnya empat urus niaga yang dianggap mempunyai “masa yang mencurigakan” apabila pedagang meletakkan pertaruhan berjumlah lebih USD2.6 bilion menjangkakan penurunan harga minyak, beberapa saat sebelum ia benar-benar berlaku.
Urus niaga pertama melibatkan pertaruhan melebihi USD500 juta terhadap kejatuhan harga minyak pada 23 Mac, iaitu beberapa minit sebelum Presiden AS Donald Trump mengumumkan penangguhan serangan ke atas rangkaian tenaga Iran, menurut laporan itu.
Seterusnya pada 7 Mei, beberapa jam sebelum Trump mengumumkan gencatan senjata, pedagang dilaporkan meletakkan pertaruhan berjumlah USD960 juta terhadap penurunan harga minyak, kata ABC News.
Urus niaga ketiga dilaporkan berlaku pada 17 April, iaitu 20 minit sebelum Menteri Luar Iran, Abbas Araghchi mengumumkan pembukaan Selat Hormuz, di mana pedagang meletakkan pertaruhan bernilai USD760 juta terhadap kejatuhan harga minyak.
Akhir sekali, pada 21 April, pedagang meletakkan pertaruhan berjumlah USD430 juta terhadap kejatuhan harga minyak sejurus sebelum Trump mengumumkan pelanjutan gencatan senjata, katanya.































