
Model terbaharu diimport sepenuhnya (CBU) dari Jepun, Subaru Crosstrek 2026 kini sudah boleh dibeli peminat kereta tempatan.
Didatangkan dengan hanya varian 2.0i Eyesight, model ini ditawarkan pada harga bermula RM190,788 tanpa insurans dan cukai jalan.

Model ini pada asasnya masih menyamai hatchback Impreza yang ditinggikan, dengan elemen SUV seperti pelindung plastik hitam pada gerbang roda dan bampar.
Crosstrek dilengkapi enjin boxer 2.0 liter empat-silinder tanpa pengecas turbo, bersama sistem pacuan semua roda symmetrical (AWD) yang dicipta khas, selain pakej sistem bantuan pemanduan EyeSight.

Rangkaian kuasa pula meneruskan kesinambungan unit suntikan terus FB20D pada model facelift generasi terdahulu, dengan kemampuan mencecah 156 PS pada 6,000 rpm dan 196 Nm pada 4,000 rpm.
Ia memacu keempat-empat roda melalui transmisi Lineartronic CVT bersama sistem AWD.

Model ini boleh mencapai pecutan 0-100 km/j dalam 10.5 saat bersama kelajuan maksima cecah 198 km/j.
Dibina dengan versi terkini Subaru Global Platform, SUV generasi ketiga ini dipertingkatkan dimensi panjangnya sebanyak 15 mm, menjadi 4,480 mm.
Bagaimanapun ia 40 mm lebih rendah kepada 1,600 mm, manakala lebar 1,800 mm dan jarak roda 2,670 mm kekal tidak berubah – untuk jarak kelegaan tanah sekitar 220 mm.
Untuk suspensi, pula menggunakan gandingan topang MacPherson di hadapan dan Double Wishbone di belakang.
Sistem brek bagi model ini adalah cakera ventilated untuk hadapan dan belakang.
Model generasi ketiga yang menggantikan XV generasi kedua, menampilkan gaya rekaan diperbaharui pada bentuk masih dikenali dengan jalur krom pada gril bersambung dengan lampu nyalaan siang (DRL) LED pada setiap lampu hadapan.
Gril heksagon kelihatan lebih garang berbanding model terdahulu, dan elemen gaya berbentuk-C diterapkan di seluruh rekaan, seperti bucu bampar, lampu DRL, serta lampu belakang.

Rel pada bumbung Crosstrek lebih berbentuk segi berbanding pada XV generasi kedua sambil diberi bumbung suria panoramik kaca dengan fungsi gelangsar berkuasa.
Set roda bagi unit ini menggunakan tayar bersaiz 225/55R18 membaluti rim 18-inci dengan rekaan turbin dwi-warna.
Reka bentuk papan pemuka Crosstrek hasil inspirasi model WRX/Levorg untuk sebahagian besar susun atur.
Sepasang meter analog mengapit paparan pelbagai maklumat di tengah, manakala unit infotainmen tengah berorientasikan menegak, dengan corong penyaman udara menegak di kedua-dua sisinya.
Paparan kecil di atas unit infotainmen utama pada XV generasi kedua dihapuskan sepenuhnya.
Ciri ketersambungan Crosstrek merangkumi
- input audio tambahan 3.5 mm
- bersama port USB-C 3.0 A dan USB-A 2.4 A
- pad pengecasan peranti tanpa wayar Qi
- soket kuasa 12 voltan untuk penumpang hadapan
- Penumpang barisan kedua pula mendapat port USB-C 3.0 A dan USB-A 2.4 A.
Untuk sambungan telefon pintar, Android Auto dan Apple CarPlay tanpa wayar turut diberikan.
Ciri kelengkapan lain termasuklah
- sistem penyaman udara dwi-zon dengan fungsi kawalan suara
- sistem Full HD Dispay Audio 11.6-inci dengan navigasi
- enam unit pembesar suara
- alas pengecas tanpa wayar
- Dual-gauge Layout dengan paparan LED warna sepenuhnya 4.2-inci
- penukar gear di belakang stereng
- pedal aluminium
Tempat duduk belakang boleh dilipat dalam nisbah 60:40, dengan cagak kerusi kanak-kanak ISOFIX terletak pada bahagian luar tempat duduk belakang.
Untuk lantai ruang but terdapat tayar simpanan sementara jenis “space saver” bersaiz 185/65R17.

Model ini dilengkapi sistem bantuan pemanduan EyeSight termasuk
- brek kecemasan automatik
- kawalan jelajah adaptif dengan fungsi stop and go
- bantuan pemusatan lorong
- AEB
- pemantau perhatian pemandu berasaskan kamera
Ciri keselamatan lain termasuk 10 beg udara, Pengesan Kenderaan Belakang Subaru (SRVD), Brek Automatik Belakang (RAB), Paparan Pelbagai-Pandangan, Kamera Pandangan Belakang dan sistem Berhenti Kecemasan,

Crosstrek 2.0i Eyesight ditawarkan dengan lapan pilihan warna luaran
- Crystal White Pearl
- Ice Silver Metallic
- Magnetite Grey Mrtallic
- Cyrstal Black Silica
- Sapphire Blue Pearl
- Pure Red
- Sand Dune Pearl
- Citron Yellow Pearl

Ia didatangkan dengan waranti kenderaan untuk lima-tahun/100,000 km.
Subaru Crosstrek 2026 ini selaras dengan hala tuju jenama tersebut ke arah barisan produk CBU dari Jepun sepenuhnya untuk pasaran Malaysia.
































