
Lelaki warga emas yang merempuh penunggang motosikal dalam kemalangan maut di Jalan 17/21, di Petaling Jaya pada Selasa dibebaskan dengan jaminan polis atas faktor kesihatan.
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Shamsudin Mamat berkata, lelaki tempatan berusia lingkungan 70-an itu sebelum ini ditahan bagi membantu siasatan berhubung kejadian berkenaan.
“Pemeriksaan mendapati suspek memiliki lesen memandu yang sah.
“Lelaki warga emas itu dibebaskan dengan jaminan polis atas faktor kesihatan memandangkan sudah berusia dan mempunyai penyakit,” katanya dalam kenyataan pada Selasa.
Beliau berkata, siasatan awal mendapati kemalangan dipercayai berpunca daripada kecuaian pemandu Proton X70 terbabit sehingga hilang kawalan.
“Ketika kejadian lelaki berkenaan dalam perjalanan pulang ke rumah, manakala mangsa yang juga penghantar makanan sedang bekerja,” katanya.
Media sebelum ini melaporkan seorang penunggang motosikal maut selepas terbabit dalam kemalangan dengan sebuah kereta di Jalan 17/21, kira-kira jam 1.45 tengah pada Selasa.
Kenderaan dipandu lelaki warga emas itu dipercayai hilang kawalan sebelum terbabas ke laluan bertentangan lalu melanggar motosikal mangsa.
Akibat pelanggaran itu, penunggang motosikal mengalami kecederaan parah dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.































