
Subaru memperkenalkan dua model edisi ulang tahun terhad, Subaru WRX GD25 dan Subaru BRZ ZC15, sempena acara Boxerfest 2026 di York, Pennsylvania, Amerika Syarikat (AS).
Kedua-dua model menggunakan kod casis bersejarah yang merujuk kepada model masing-masing ketika diperkenalkan di AS.
WRX GD25 simbol kepada 25 tahun sejak WRX diperkenalkan di AS, manakala BRZ ZC15 memperingati 15 tahun sejak BRZ diperkenalkan di AS.
Kedua-duanya turut menerima gabungan warna berinspirasikan sejarah serta aksesori prestasi Subaru.
Subaru WRX GD25
Subaru WRX GD25 2027 mengambil inspirasi daripada WRX generasi pertama yang tiba di AS pada 2002 menggunakan kod casis GD.
Model ini ditawarkan secara eksklusif dalam warna World Rally Blue dan pengeluaran dihadkan kepada 350 unit sahaja.
Turut dilengkapi, roda aloi 19 inci warna emas, brek Brembo yang dinaik taraf, dengan angkup brek dicat warna emas serta tayar prestasi tinggi Bridgestone Potenza S007.
Bahagian belakang dilengkapi sayap belakang swan-neck daripada gentian karbon kering STI, sama seperti kereta rali WRX ARA25L milik Travis Pastrana.
Subaru turut memasang strut tower bar fleksibel untuk meningkatkan ketegaran, bersama suspensi talaan prestasi dengan spring lebih keras dan talaan peredam baharu.
WRX GD25 digerakkan enjin Boxer 2.4 liter turbo berkuasa 271 hp dan eksklusif dengan transmisi manual enam kelajuan.
Enjin dipadankan dengan sistem pacuan semua roda Subaru Symmetrical All-Wheel Drive.
Ruang kabin menerima kerusi Recaro berorientasikan prestasi dengan kemasan Ultrasuede hitam dan jahitan riasan merah, selain tombol penukar gear singkat STI.
Subaru BRZ ZC15
Subaru BRZ ZC15 2027 pula dibuat sebagai penghormatan kepada BRZ generasi pertama yang diperkenalkan di AS pada 2012 menggunakan kod casis ZC.
Model ini tampil eksklusif dalam warna Ceramic White, yang hanya ditawarkan untuk ZC15.
Warna itu dipadankan dengan roda kemasan gangsa kusam, angkup brek Brembo merah serta pelekat gangsa unik di bahagian sisi bawah pintu.
Gabungan putih dan gangsa mengambil inspirasi daripada Subaru BRZ tS 2020 yang menggunakan tema warna sama.
BRZ ZC15 turut dilengkapi spoiler but berwarna hitam dan V-bar fleksibel di bawah hud.
Kuasa datang daripada enjin SUBARU BOXER 2.4 liter 228 hp, dipadankan secara eksklusif dengan transmisi manual enam kelajuan dan pacuan roda belakang.
Bahagian kabin menggunakan balutan kulit hitam dengan sisipan Bordeaux merah yang tidak ditawarkan pada varian BRZ lain.
Turut disertakan plak edisi ulang tahun ZC15 di depan tombol gear aluminium STI dengan gerakan pendek.
Pengeluaran BRZ ZC15 dihadkan kepada 300 unit dan model ini akan tersedia di Amerika Syarikat pada awal 2027.
Subaru WRX GD25 2027
Subaru BRZ ZC15 2027






































