
Generasi kedua BYD Seagull (juga dikenali Great Seagull) didedahkan di pasaran China menerusi rombakan besar-besaran.
Hatchback kompak itu kini dilengkapi dengan motor elektrik yang dipindahkan ke gandar belakang berbanding generasi pertama yang diletakkan di bahagian depan.
Perubahan itu sekaligus mengubah pacuan Seagull daripada roda hadapan (FWD) kepada pacuan roda belakang (RWD).
Data kelulusan MIIT mengenalpasti motor tersebut sebagai model TZ164XYB yang dikilangkan oleh Zhengzhou BYD Auto Co.Ltd. dengan kuasa 95kW (127hp). Output yang lebih tinggi ini meningkatkan kelajuan maksimum Seagull kepada 150kmj.
Peralatan lain yang turut menerima perubahan adalah pemasangan suspensi multi link independen menggantikan torsion beam.
Ia juga menggunakan tayar lebih lebar iaitu 205/60 R16 dengan peningkatan saiz tayar 165 mm dan 175 mm pada model terdahulu.
Pemindahan unit pacuan ke bahagian belakang membolehkan Seagull menawarkan ruang simpanan hadapan (frunk).
Ciri frunk jarang ditemui dalam segmen kereta elektrik (EV) kecil China di bawah harga CNY100,000 (RM62,500), walaupun BYD masih belum berkongsi kapasiti isi padu rasmi ruangan berkenaan.
Di bahagian dalam, Seagull menampilkan stereng pelbagai fungsi dua jejari jenis rata bersama skrin hiburan terapung di tengah papan pemuka.
Konsol yang direka semula menempatkan suis fizikal di bawah corong penyaman udara, pengecas telefon tanpa wayar serta dwi pemegang cawan secara menegak.
Di bahagian luar, pemegang pintu mekanikal separuh tersembunyi menggantikan unit jenis terkeluar (flush pop-out), manakala bahagian belakang menampilkan lampu tirus terpisah di bawah spoiler bumbung yang besar serta gabungan diffuser bawah.
Seperti yang dilihat pada unit ujian kejuruteraan di China, pod LiDAR pada bumbung menyokong pakej bantuan pemanduan Tahap 2 DiPilot 300 (God’s Eye B) milik BYD.
Perbandingan Seagull Baharu Menerusi Geely EX2

Reka bentuk semula ini memberi Seagull beberapa persamaan perkakasan utama dengan Geely EX2 (dijual sebagai Xingyuan di China).
Kedua-dua model menampilkan pacuan roda belakang, penggantungan belakang independen, ruang simpanan hadapan serta jarak roda yang sama iaitu 2,650 mm, walaupun Seagull lebih panjang 70 mm (4,205 mm) secara keseluruhan.
Perubahan ini hadir ketika persaingan dalam segmen EV kecil di China semakin sengit.
Pada bulan Ogos, pendaftaran domestik bagi model Seagull terdahulu mencecah 10,103 unit, manakala Geely Xingyuan merekodkan 39,651 pendaftaran dan 60,955 penghantaran borong, menurut China EV DataTracker.
Bagaimanapun, BYD masih belum mengumumkan harga dan tarikh pelancaran rasmi hatchback kompak itu.
































