
Chery Malaysia hari ini memberikan gambaran pertama model baharu dalam barisan TIGGO CROSS menerusi sesi pratonton eksklusif TIGGO CROSS Sport Edition menjelang pelancaran rasminya bulan hadapan.
Menurut kenyataan syarikat itu, pengenalan edisi khas tersebut berinspirasikan semangat kesukanan yang menjadi teras kepada identiti jenama Chery di peringkat global.
Chery sebelum ini aktif dalam menyokong pembangunan ekosistem sukan tempatan dan antarabangsa menerusi pelbagai kerjasama strategik.
Ia termasuk penganjuran Kejohanan Badminton Piala Lee Chong Wei serta kerjasama terbaharu sebagai Rakan Mobiliti Rasmi KL Women Running Festival dan Rakan Automotif Rasmi Mobile Legends: Bang Bang Professional League Malaysia Musim 18.
Dari segi penampilan, TIGGO CROSS Sport Edition menerima penambahbaikan estetik menerusi kit badan sporty merangkumi spoiler lip aerodinamik pada bahagian hadapan dan belakang.
Penambahan tersebut memberikan karakter lebih dinamik dan identiti lebih menyerlah berbanding varian standard.
Bagi pasaran tempatan, model berkenaan akan ditawarkan secara eksklusif menerusi varian Turbo pada peringkat awal.
Bagaimanapun, butiran lengkap berkaitan spesifikasi teknikal, harga jualan dan kelengkapan akan diumumkan secara rasmi ketika majlis pelancarannya kelak.
Sementara itu, bersempena sambutan ulang tahun ke-10 Mobile Legends: Bang Bang, Chery turut mengumumkan penawaran hadiah utama kempen Legenda Musim 18 dinaik taraf kepada sebuah TIGGO CROSS Sport Edition.
Inisiatif tersebut memberi peluang kepada komuniti e-sukan tempatan memiliki model edisi khas itu.
Chery Malaysia memaklumkan, pelancaran rasmi TIGGO CROSS Sport Edition akan berlangsung dalam masa terdekat dengan maklumat lanjut akan dikemas kini dari semasa ke semasa.
































