Utama Berita Automotif Subaru umum 3 model bertransmisi manual menjelang 2027

Subaru umum 3 model bertransmisi manual menjelang 2027

5

Subaru memberikan khabar gembira buat para peminat kereta bertransmisi manual, terutama di Jepun. 

Menjelang tahun 2027, tiga model dengan kotak gear manual bakal dilancarkan iaitu sedan WRX, BRZ edisi khas dan hatchback lima-pintu serba baharu. 

Pengumuman tersebut dibuat ketika sidang media perlumbaan Fuji 24 Hours yang berlangsung baru-baru ini. 

Ketiga-tiga model ini akan dibangunkan oleh divisyen Sports Vehicle Planning Office yang baru diubuhkan, menggabungkan teknologi dan pengalaman dari dunia sukan permotoran. 

Model yang paling misteri ialah hatchback lima-pintu, dikatakan versi produksi kepada model Performance-B STI Concept yang dipamerkan di Japan Mobility Show 2025. 

Ketua Teknologi Subaru, Tetsuro Fujinuki menggambarkannya sebagai sebuah kereta asas mampu milik dan sesuai menjadi platform untuk jurutera dan peminat mengembangkan idea menjadi sebuah jentera yang lebih ‘gila’. 

Sebuah lagi model baharu ialah sedan WRX manual yang akan menggunakan kotak gear TY85 yang lebih tahan lasak berbanding WRX STi generasi terdahulu. 

Buat masa ini tiada sebarang butiran prestasi didedahkan, tapi kehadiran skup udara pada bonet WRX ini menunjukkan ia mungkin akan menggunakan nadi boxer 2.4L tanpa bantuan elektrifikasi. 

Akhir sekali, BRZ manual yang mungkin akan dibina berdasarkan BRZ STI Sport Type RA yang diperkenalkan pada November tahun lalu. 

Versi Type RA asal hadir dengan aspek aerodinamik agresif, penyerap hentak ZF dan brek Brembo yang terhad kepada 300 unit sahaja. 

Versi baharu ini dijangka akan mengekalkan naik taraf yang sama, diikuti pakej pengurangan berat badan dan tidak lagi ditawarkan sebagai unit terhad. 

ketiga-tiga model ini akan debut dalam tempoh beberapa bulan akan datang, namun belum dipastikan sama ada bakal dikembangkan ke pasaran global atau pun tidak. 

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here