Utama Berita Automotif Cycle & Carriage rasmi ambil alih pengedaran Leapmotor untuk pasaran tempatan

Cycle & Carriage rasmi ambil alih pengedaran Leapmotor untuk pasaran tempatan

6

Cycle & Carriage secara rasmi mengambil alih operasi pengedaran jenama kenderaan elektrik (EV) Leapmotor di Malaysia.

Langkah tersebut adalah perkembangan terbaru dalam kerjasama antara Cycle & Carriage dan Stellantis sejak tahun 2024, selain menandakan usaha berterusan syarikat untuk memperluaskan portfolio jenama automotif.

Pasaran EV tempatan dilihat terus berkembang pesat hasil peningkatan penerimaan pengguna, pertambahan kemudahan pengecasan serta minat semakin tinggi terhadap teknologi mobiliti moden.

Leapmotor yang berasal dari China dilihat mempunyai potensi besar menarik minat pembeli yang mahukan EV dengan teknologi terkini pada harga lebih mampu milik.

Ketua Pegawai Eksekutif Cycle & Carriage, Adrian Short berkata, syarikat itu melihat Malaysia sedang memasuki fasa baharu dalam penggunaan EV apabila semakin ramai pengguna mencari model yang menawarkan gabungan teknologi pintar dan praktikal untuk kegunaan harian.

Beliau berkata, mobiliti elektrik bukan sahaja perlu dilihat sebagai aspirasi masa depan, malah boleh diakses lebih ramai pengguna.

Justeru, Leapmotor diyakini mampu menawarkan nilai yang kompetitif dalam segmen EV premium mampu milik.

Pada masa sama, Cycle & Carriage berhasrat memastikan pengalaman pemilikan lebih menyeluruh kepada pelanggan, termasuk daripada aspek jualan, servis selepas jualan serta sokongan jangka panjang.

Sejak setahun lalu, syarikat itu memperluaskan rangkaian Leapmotor di beberapa lokasi utama termasuk George Town, Pulau Pinang, Pavilion Bukit Jalil di Kuala Lumpur dan Paradigm Mall di Johor Bahru.

Selain itu, pusat 3S utama Leapmotor turut dibuka di Glenmarie, Selangor.

Sementara itu, Pengarah Urusan Stellantis ASEAN, Isaac Yeo berkata, pelantikan Cycle & Carriage sebagai pengendali operasi pengedaran Leapmotor di Malaysia mencerminkan hubungan kerjasama kukuh antara kedua-dua pihak.

Menurutnya, pengalaman luas Cycle & Carriage dalam industri automotif, rangkaian perniagaan yang mantap serta pendekatan berfokuskan pelanggan akan membantu mempercepatkan pertumbuhan Leapmotor di pasaran tempatan.

Menerusi peranan baharu itu, Cycle & Carriage akan bekerjasama rapat dengan rangkaian pengedar bagi memperluaskan kehadiran Leapmotor di seluruh negara, meningkatkan standard jualan dan perkhidmatan serta memperkukuh kemudahan selepas jualan.

Ketika ini, Leapmotor mempunyai 12 pusat jualan dan enam pusat servis di Malaysia, dengan beberapa lagi lokasi baharu dijangka beroperasi sebelum hujung tahun ini.

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here