
Jenama motosikal Czech, Jawa Moto mendedahkan konsep motosikal terbaharu yang agak menarik di acara pameran motosikal Brno baru-baru ini, iaitu Jawa 1000 Sport Cruiser.
Ia didatangkan dengan enjin parallel-twin 999 cc sejukan cecair yang mampu menjana kuasa sekitar 113 hp dan 95 Nm, dan mempunyai berat sekitar 240 kg.
Kelajuan maksimum boleh mencecah sehingga 215 km/j.
Reka bentuk Jawa 1000 Sport Cruiser ini merupakan rojak elemen daripada cruiser, roadster dan sportbike, menggabungkan garisan melengkung, estetika cruiser yang rendah serta warna merah ikonik Jawa.
Ia turut dilengkapi dengan perkakasan premium seperti sistem brek Brembo Stylema, suspensi Ohlins depan dan belakang, rim OZ Racing serta sistem ekzos LeoVince.
Tinggi pelana pula sekitar 795 mm.
Model yang dipamerkan di Brno itu dikatakan merupakan model prototaip versi pra-produksi. Ini adalah berdasarkan kepada rekaan penutup enjin yang tidak konvensional, seolah-olah ia merupakan versi tanah liat atau cetakan 3D awal.
Model kerjasama Jawa dengan jenama China Jedi itu akan dihadkan produksinya kepada 15 unit sahaja.




