
Bertempat di acara pameran EICMA di Itali tahun lalu, QJMotor mengambil kesempatan mendedahkan sebuah konsep cafe racer Eqvvs berenjin V4 561 cc yang direka oleh C-Creative.
Konsep tidak semestinya diterjemah menjadi sebuah model produksi sebenar.
Namun, QJMotor mengekalkan sebahagian daripada elemen model konsep itu pada sebuah cruiser versi produksi yang lebih besar.
Model cruiser yang masih belum dinamakan ini membawakan casis aluminium yang diambil daripada Eqvvs, dan menampilkan elemen tiub keluli tambahan pada bahagian bawah enjin.
Jentera baharu ini sayang sekali tidak menggunakan unit enjin 561 cc yang sama pada model Eqvvs, sebaliknya menggunakan nadi V4 yang diambil daripada model SRV600.
Berdasarkan imej yang dibekalkan, jentera cruiser ini turut menggunakan fork hadapan jenis terbalik Marzocchi, angkup brek berkembar empat-omboh Hangte, penyerap hentak berkembar di belakang serta unit pacuan akhir jenis tali sawat.
Ia tidak menggunakan transmisi semi-automatik, melihatkan kepada komponen yang dipasang pada bahagian bar hendal dan tempat pemijak kaki.
Selain itu, tiada ciri sistem permulaan tanpa kunci berdasarkan kunci yang bertenggek pada bahagian berhampiran perumah lampu utama.
Segala info pula dipaparkan menerusi skrin TFT berwarna berbentuk bulat seperti yang digunakan pada model-model cruiser QJMotor sedia ada.


































