
Kawasaki ZX-4RR kini ada pencabar baharu yang datang dari jenama China.
QJMotor baru sahaja melancarkan SRK 421 RR, sebuah supersport yang dilengkapi enjin empat silinder sebaris 400 cc.
Model ini juga dapat mengisi kekosongan yang tercipta antara model-model sedia ada di UK seperti SRK 125 R, SRK 800 RR dan SRK 921 RR.
Model baharu ini menghasilkan 76hp pada 14,000rpm dan 38 Nm pada 13,000rpm menyamai prestasi ZX-4RR.
Bezanya? Harga. SRK 421 RR dijual pada £5,299 (RM27,854), jauh lebih murah daripada ZX-4RR 2026 yang mencecah £8,799 (RM46,251).
QJMotor mendakwa model ini direka dengan inspirasi mecha futuristik, lengkap dengan badan aerodinamik, garisan tajam dan ekor berongga untuk mengurangkan kesan seretan.
Komponen dalaman pula menggunakan jenama premium Jepun seperti plet cengkam FCC, bearing NTN, cincin omboh RIK dan bearing aci engkol Daido.
Bahagian depan tampil garang dengan Ram Air, dipadankan rangka keluli-aluminium, fork USD boleh laras dan penyerap hentak Marzocchi.
Sistem brek Brembo dengan cakera berkembar 300mm di depan dan ABS dua saluran memastikan kuasa berhenti setanding kuasa geraknya.
Paparan TFT 7 inci menyokong sambungan telefon dan navigasi, manakala mod Normal dan Sport membolehkan penunggang memilih karakter tunggangan. Mod Sport diset khas untuk litar.
Tiga warna ditawarkan: Hitam, Putih dan Merah/Perak.































