
Jika anda perasan, sejak kebelakangan ni terdapat beberapa pengeluar yang mula menggunakan pendekatan rekaan SUV berkotak mirip Land Rover Defender.
Tidak mahu kalah dengan pengeluar China seperti Chery, Hyundai tampil dengan SUV kotak Boulder Concept yang dibina berdasarkan platform ladder-frame.
SUV dengan siluet dua kotak ini mengguna pakai bahasa rekaan “Art of Steel” yang debut di New York Auto Show tahun ini.
Rekaan tersebut memberikan imej yang garang, serta sudut pendekatan, pelepasan dan breakover yang agresif sesuai untuk pemanduan off-road.
Selain itu, ia dipadankan dengan tayar mud-terrain bersaiz 37 inci serta tayar simpanan saiz penuh yang digantung pada pintu tailgate belakang.
Menariknya, pintu belakang menampilkan rekaan engsel berkembar yang boleh dibuka daripada arah kanan atau kiri, serta tingkap yang boleh diturunkan.
Ruang kabin pula membawakan pendekatan retro-futuristik yang tidak langsung mempunyai skrin paparan tradisional.
Sebaliknya, ia hanya memaparkan informasi penting pada skrin yang terletak pada dasar cermin hadapan – seakan skrin paparan head-up lebar.
Di bahagian tengah papan pemuka terdapat empat unit paparan kecil yang turut disertakan dengan butang kawalan fizikal.
Buat masa ini Hyundai tidak mendedahkan perincian unit rangkaian kuasa yang bakal memacu SUV kotak ini.
Platform body-on-frame yang menjadi asas pada SUV ini akan turut digunakan untuk sebuah model trak pikap saiz pertengahan yang akan tiba menjelang 2030.
































