
Kia Amerika Syarikat akhirnya mendedahkan perincian bagi model SUV Kia Seltos (2027).
Untuk permulaan, SUV sub-kompak ini akan ditawarkan dengan pilihan enjin berikut:
- enjin 2.0L NA (147 hp) dengan transmisi CVT, FWD atau AWD
- enjin 1.6L Turbo (190 hp) dengan sistem pacuan AWD
- enjin 1.6L Hibrid dengan transmisi auto 6-kelajuan, FWD atau AWD
Seperti yang dipertontonkan sebelum ini, Kia Seltos (2027) membawakan rekaan luaran yang diinspirasikan daripada model Kia Telluride.
Ia juga lebih besar berbanding model sedia ada dengan jarak antara roda yang lebih panjang 60 mm dan jarak kelegaan tanah setinggi 206 mm.
Secara standard, Seltos dilengkapi dengan rim 16 inci, 18 inci, dan 19 inci untuk model yang lebih premium.
Pengaruh rekaan daripada model EV9 dan Telluride turut ditampilkan pada ruang kabin Seltos baharu ini.
Ia mempunyai tuil penukaran gear pada kolum stereng, roda stereng rekaan baharu, skrin paparan infohibur 12.3 inci, skrin kluster digital 12.3 inci dan panel kawalan iklim sebesar 5 inci.
Sokongan Apple CarPlay dan Android Auto turut tersedia.
Disebabkan penambahan jarak antara roda, ia menyumbang kepada ruang kaki, ruang kepala dan bahu yang lebih luas.
Ruang kargo adalah sebesar 787 liter dan boleh mencapai sehingga 1,815 liter apabila tempat duduk baris kedua dilipat.
Harga jualan Kia Seltos (2027) di pasaran Amerika hanya akan diumumkan kelak.




