
QJMotor Malaysia rasmi melancarkan motosikal kruiser SRV600V pada harga cadangan RM33,888 seunit dengan tiga pilihan warna badan.
QJMotor SRV600V menggunakan enjin 561cc 4-silinder, DOHC penyejukan cecair yang berkuasa 50kW @ 10,500rpm dan tork maksimum 54Nm @ 8,000rpm bersama transmisi 6-kelajuan.
Keselesaan tunggangan diserahkan kepada suspensi fork terbalik Marzocchi di depan dan jenis teleskopik di belakang. Ia kemudian dipadankan dengan tayar bersaiz 130/90-16 (depan) dan 180/65-16 (belakang).
Antara ciri peralatan yang ditawarkan pada kruiser berkenaan adalah penghidup elektrik, pencahayaan jenis LED, meter digital bulat dengan paparan sistem pemantauan angin tayar (TPMS), ekzos berkembar, tangki minyak bersaiz 16.5 liter dan slot pengecas USB jenis A dan C.
Kecekapan memperlahankan jentera roda dua itu diserahkan kepada brek cakera 300mm di depan dan 260mm di belakang dengan sokongan Sistem Brek Anti Kunci (ABS) serta Sistem Kawalan Traksi (TCS).
QJMotor SRV600V berukuran 2,280mm panjang, (830mm) lebar dan (1,115mm) tinggi bersama jarak roda adalah 1,580mm. Manakala berat jentera pula 219kg yang kemudian dipadankan dengan ketinggian pelana 720mm.
Selain itu, ia juga dilengkapi dengan fungsi Bluetooth yang membolehkan paparan nombor telefon muncul pada skrin meter sekiranya terdapat panggilan ketika menunggang.
Di samping itu, SRV600V menyokong sambungan ke aplikasi pihak ketiga seperti Carbit Ride, yang serasi dengan peranti Android dan Apple, bagi kemudahan navigasi, pencerminan paparan serta pelbagai fungsi berkaitan.