Perincian pelaksanaan penyasaran semula subsidi RON95 bakal diumumkan menjelang akhir September 2025 selaras dengan pengumuman Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 23 Julai 2025, kata Kementerian Kewangan (MOF).
Sehubungan itu, katanya kerajaan sedang giat membangun dan menguji mekanisme penyasaran subsidi bagi memastikan ia beroperasi secara lancar apabila dilaksanakan.
“Usaha ini termasuk memperhalusi data daripada agensi seperti Jabatan Pendaftaran Negara, Jabatan Pengangkutan Jalan dan Jabatan Perangkaan Malaysia.
“Kerajaan berusaha memastikan pendekatan yang lebih menyeluruh diterapkan supaya subsidi RON95 dapat meliputi kelompok yang disasarkan,” katanya.
Menurut MOF, sepertimana yang diumumkan, apabila penyasaran semula subsidi RON95 dilaksanakan melalui penggunaan MyKad, rakyat terbanyak akan dapat menikmati harga RON95 yang lebih rendah iaitu RM1.99 seliter.
Mereka yang tidak layak untuk subsidi RON95 seperti bukan warganegara perlu membayar harga pasaran tanpa subsidi, katanya.