
KEEWAY Malaysia memperkenalkan XDV180 EVO pada harga cadangan RM9,388 seunit.
Ditawarkan dalam tiga warna badan iaitu kelabu, hitam dan putih, KEEWAY XDV180 EVO dilengkapi dengan enjin 174cc silinder tunggal yang menghasilkan kuasa maksimum 13.6kW @ 8,500rpm dan tork maksimum 17.2Nm @ 6,500rpm bersama kotak gear CVT.
Saiz piston dan lejang 61mm x 59.6mm dengan nisbah mampatan 11.5:1 menjadikannya sesuai untuk tunggangan cekap dan responsif.
Selain itu, ia dilengkapi dengan EFI (Electronic Fuel Injection) serta sistem nyalaan T.C.I dan penghidup elektrik.
Keselesaan tunggangan diserahkan kepada fork depan jenis terbalik dan penyerap hentak berkembar di belakang.
Kaki berkenaan disokong oleh tayar dwi fungsi bersaiz 110/80-14 (depan) dan 130/70-13 (belakang).
Dari aspek keselamatan, skuter adventure tersebut dilengkapi dengan sistem brek cakera di depan dan belakang berserta Sistem Brek Anti Kunci (ABS) dwi-saluran.
Ciri peralatan lain yang ditawarkan termasuklah panel meter TFT bersaiz 7-inci, sistem keyless, tangki bahan api 10 liter, rak belakang yang boleh menampung kotak atas sehingga 45 liter dan perakam video (DVR) dengan kad memori 32GB.
Dengan berat kering hanya 145kg, jentera ini amat mudah dikendalikan. Ia memiliki
ketinggian tempat duduk 870mm, jarak kelegaan tanah 140mm serta ukuran keseluruhan
1,940mm panjang, 770mm lebar dan 1,285mm tinggi. Jarak roda pula ialah 1,335mm.
Keeway XDV180 EVO didatangkan dengan jaminan pengeluar selama dua tahun atau jarak perjalanan 20,000km (yang mana tiba dahulu) dan perkhidmatan pembelian alat ganti tulen atas talian oleh Mforce Bike Holdings.