
Keeway memperkenalkan XDV 125 EVO PRO, sebuah jentera yang mendefinisikan semula konsep mobiliti bandar.
Ia menggabungkan gayaan motosikal kembara dengan teknologi pintar serta praktikaliti tunggangan harian.
Skuter ini direka khusus bagi penunggang moden yang ingin tampil menonjol di dalam kota sambil memiliki keyakinan untuk meneroka laluan melangkaui jalan berturap.
Di pasaran tempatan Keeway Malaysia sebenarnya telah pun menawarkan model XDV 180 EVO pada harga cadangan RM 9,388 seunit yang hadir dengan tiga pilihan warna iaitu kelabu hitam dan putih.
Berbeza dengan model 180 tersebut varian EVO PRO ini tampil lebih menonjol dengan penggunaan rim berjejari atau lidi untuk imej yang lebih lasak.
Reka Bentuk Luaran
XDV 125 EVO PRO memberikan impak visual yang kuat melalui reka bentuk yang agresif.
Garisan badan yang tajam dan profil yang tinggi mencerminkan pengaruh motosikal trail sekaligus memberikan penampilan yang dominan di jalan raya.
Kemasan premium dan perincian yang halus membezakan model ini daripada skuter bandar tradisional.
Penggunaan roda jenis berjejari yang dipadankan dengan tayar dua guna (dual-purpose) daripada CST iaitu bersaiz 110/80-14 di hadapan dan 130/70-13 di belakang.
Tayar ini bukan sahaja melengkapkan imej lasak malah berfungsi meningkatkan penyerapan hentakan serta cengkaman pada permukaan jalan yang tidak rata.
Ergonomik dan Keselesaan Tunggangan
Salah satu elemen utama pada model ini adalah kedudukan tunggangannya.
Dengan ketinggian tempat duduk 870 mm ia menawarkan postur badan yang tegak untuk jarak penglihatan yang lebih baik dan kawalan yang lebih stabil.
Bagi memastikan keselesaan maksimum sistem ampaian jarak jauh digunakan merangkumi fork teleskopik jenis terbalik 37 mm di hadapan dengan jarak gerak 80 mm.
Bahagian belakang pula dilengkapi dua penyerap hentak dengan fungsi prabeban boleh laras dengan jarak gerak 60 mm yang mampu menyerap permukaan jalan yang tidak sempurna dengan lancar.
Rangkaian Kuasa dan Prestasi
XDV 125 EVO PRO dikuasakan enjin 125 cc silinder tunggal 4 lejang 4 injap dengan penyejukan cecair.
Ia menghasilkan imbangan sempurna antara prestasi bandar dan penerokaan hujung minggu
- Jenis Enjin: Silinder tunggal 125 cc 4 lejang 4 injap dengan penyejukan cecair
- Kuasa Maksimum: 12.23 ps@8,250 rpm
- Tork Maksimum: 9.5Nm@7,500 rpm
- Sistem Transmisi: Automatik CVT dengan pacuan akhir jenis tali sawat
- Sistem Ekzos: Patuh piawaian Euro 5 dan Euro 5+
Sebagai perbandingan model XDV 180 EVO yang ada di Malaysia menggunakan enjin 174 cc yang menghasilkan 18.49 ps dan tork 17.2Nm.
Teknologi dan Ciri Praktikaliti
Aspek teknologi menjadi nadi kepada pengalaman tunggangan moden skuter ini. Ia dilengkapi paparan TFT warna penuh bersaiz 7 inci yang memberikan maklumat jelas seperti kelajuan dan tahap bahan api walaupun di bawah cahaya matahari terik.
Semua sistem lampu menggunakan teknologi LED penuh dan terdapat port pengecasan USB untuk peranti elektronik.
Selain itu tuas brek boleh dilaraskan kepada 4 posisi mengikut kesesuaian penunggang.
Akses kepada penutup tangki bahan api berkapasiti 10 liter dan ruang tempat duduk boleh dilakukan terus melalui suis utama untuk kemudahan pengguna.
Sistem Keselamatan
Untuk keselamatan sistem brek cakera digunakan pada kedua-dua roda dengan saiz 240 mm di hadapan dan 220 mm di belakang.
Model ini turut dilengkapi sistem ABS bagi memastikan kuasa hentian yang selamat dalam pelbagai keadaan cuaca.
Harga di UK
XDV 125 EVO PRO ditawarkan dalam dua pilihan warna iaitu Dark Soul yang menggabungkan warna hitam kusam dengan riasan emas serta Urban Wild yang menampilkan warna kelabu cerah dengan riasan merah.
Model ini dijual di United Kingdom (UK) pada harga £2,999 atau bersamaan kira-kira RM 16,030.
Spesifikasi Teknikal Keeway XDV 125 EVO PRO
- Enjin: 125 cc Silinder Tunggal
- Kuasa: 12.23 ps@8,250 rpm, 9.5Nm@7,500 rpm
- Penyejukan: Cecair
- Ampaian Hadapan: Fork Teleskopik Terbalik 37 mm
- Ampaian Belakang: 2 Penyerap Hentak dengan Prabeban
- Brek Hadapan: Cakera 240 mm dengan ABS
- Brek Belakang: Cakera 220 mm dengan ABS
- Rim Hadapan: Berjejari 14 inci
- Rim Belakang: Berjejari 13 inci
- Tayar Hadapan: 110/80-14 CST
- Tayar Belakang: 130/70-13 CST
- Lampu: LED Penuh
- Berat Tanpa Beban: 145 kg
- Kapasiti Tangki: 10 Liter
- Ketinggian Tempat Duduk: 870 mm




































