
“Gaya macam orang kaya, tapi sebenarnya ‘kosong’!”. Itu gambaran terhadap seorang lelaki warga Kemboja yang cuba mencari alasan apabila diminta dokumen oleh penguatkuasa Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Negeri Kedah.
Dalam Ops Luxury itu, pihak JPJ Negeri Kedah menahan sebuah Mercedes Benz E200 yang dipandu dalam keadaan mencurigakan.
Menurut kenyataan, pemandu terbabit pada mulanya cuba bertindak ‘licik’ dengan memberikan pelbagai helah dan alasan ketika diminta mengemukakan dokumen pengenalan diri serta lesen memandu.

“Akhirnya dia mengaku tidak mempunyai sebarang lesen memandu yang sah dan juga merupakan warganegara Kemboja.
“Hasil pemeriksaan mendapati kenderaan tersebut melakukan beberapa kesalahan di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang mana lesen kenderaan motor dan perlindungan insurans telah tamat tempoh sejak 2 April 2025,” menurut kenyataan.
Susulan itu, tindakan saman serta-merta dikeluarkan dan kenderaan mewah tersebut ditarik ke Depoh Sita JPJ Negeri Kedah untuk siasatan lanjut.
Sementara itu, JPJ Negeri Kedah menegaskan pihaknya tidak akan sesekali berkompromi dengan mana-mana pemilik kenderaan yang berdegil melanggar undang-undang.






























