
Projek mega negara, Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) mencatat kemajuan pembinaan 91.7 peratus setakat Januari lalu dengan tumpuan kini beralih kepada persiapan operasi, kata Menteri Pengangkutan Anthony Loke.
Beliau berkata dengan ketibaan tren elektrik pelbagai gerabak (EMU) dan lokomotif elektrik (E-Loco) yang pertama di Malaysia, ia sekali gus menandakan projek infrastruktur nasional bernilai RM50.27 bilion itu telah memasuki fasa yang lebih penting.
“Dengan peneriman EMU dan E-Loco maka kita akan memulakan fasa penting iaitu ujian dan pertauliahan (tren) yang mana ini selari dengan perancangan keseluruhan projek itu dan kita jangkakan bahawa jadual dirancang iaitu ECRL dapat beroperasi pada Januari tahun depan dapat dicapai.
“Sudah tentu beberapa bulan baki ini akan digunakan sepenuhnya untuk segala ujian dan sebagainya, saya harapkan bahawa keseluruhan projek ini berjalan lancar,” katanya.

Projek ECRL sepanjang 665km telah memperuntukkan 11 set tren EMU enam gerabak bagi perkhidmatan penumpang serta 12 E-Loco untuk tujuan kargo dan setakat ini, dua set tren EMU dan dua E-Loco telah tiba di Malaysia pada penghujung 2025.
Setiap set tren EMU mampu beroperasi sehingga kelajuan 160kmj dengan kapasiti sehingga 425 penumpang bagi kontigurasi kelas ekonomi sepenuhnya.
Reka bentuk luaran dan dalaman tren itu dilhamkan daripada seni serta kebudayaan Malaysia dan dilengkapi kemudahan seperti tandas, rak bagasi, kaunter makanan dan minuman, bilik solat berserta tempat wuduk selain kemudahan Orang Kurang Upaya (OKU) bagi memastikan keselesaan semua penumpang.
Loke turut memaklumkan baki tren dijadual tiba dalam beberapa bulan akan datang secara berperingkat dan akan diuji sebelum beroperasi.
Sementara itu, beliau berkata inisiatif penyediaan infrastruktur rangkaian mudah alih di sepanjang jajaran ECRL juga penting kerana dapat memberikan keselesaan kepada penumpang.
Beliau turut berharap beberapa kawasan yang belum diliputi rangkaian internet bagi perkhidmatan Keretapi Tanah Melayu Bhd dapat dilengkapkan agar capaian dapat dinikmati pengguna di sepanjang perjalanan.

































