Subaru WRX S4 dan Levorg STI Sport R-Black Limited II, edisi khas tampil kuning di Jepun!

6

Subaru memperkenalkan model edisi khas STI Sport R-Black Limited II untuk dua model sekaligus iaitu WRX S4 dan Levorg.

Model ini dibangunkan berasaskan varian tertinggi iaitu Levorg STI Sport EX, STI Sport R EX dan WRX S4 STI Sport R EX. 

Gaya Luar Kuning dan Hitam

Satu ciri utama pada model edisi khas ini adalah warna Sunrise Yellow sebagai pilihan eksklusif.

Penampilan luaran diserlahkan dengan penggunaan warna hitam pada cermin sisi elektrik serta antena bumbung jenis sirip jerung.

Model ini dilengkapi rim aluminium bersaiz 18 inci dengan kemasan cat hitam kusam.

Lampu utama jenis LED penuh untuk pancaran tinggi dan rendah hadir dengan kemasan bezel hitam serta dilengkapi fungsi lampu membelok mengikut stereng.

Bagi model Levorg, logo belakang Symmetrical AWD menggunakan kemasan warna Luster Black, manakala bahagian skirt bumper hadapan juga dicat dengan warna hitam.

Kemasan Dalaman Mewah dan Eksklusif

Bahagian kabin menerima bahan premium untuk meningkatkan suasana eksklusif.

Panel instrumen bahagian tengah dan kemasan pintu menggunakan bahan seakan suede dengan jahitan berwarna hitam.

Beberapa bahagian lain seperti hiasan tengah, penutup konsol lantai dan perehat lengan pintu dibalut hitam beserta jahitan juga dalam warna hitam.

Aspek pemanduan diperkemas dengan stereng balutan kulit sentuhan tinggi dan sarung penukar gear yang menggunakan jahitan hitam.

Pemandu dan penumpang hadapan disediakan tempat duduk RECARO berlogo STI yang dibalut Ultrasuede berwarna hitam.

Kerusi ini menampilkan corak berliang warna kuning sebagai kontras kepada jahitan hitam.

Rangkaian Kuasa

Subaru Levorg STI Sport R-Black Limited II 1.8L

Model ini dikuasakan enjin 1.8 liter Boxer Dual AVCS Pancutan Terus Turbo DIT yang menghasilkan kuasa maksimum 177 hp pada 5,200 hingga 5,600 rpm dan tork maksimum 300Nm pada 1,600 hingga 3,600 rpm.

Tenaga disalurkan melalui transmisi Lineartronic dengan mod manual 8 kelajuan ke sistem pacuan Active Torque Split AWD kawalan elektronik.

Subaru Levorg dan WRX S4 STI Sport R-Black Limited II 2.4L

Kedua-dua model menggunakan enjin 2.4 liter Boxer Dual AVCS Pancutan Terus Turbo DIT yang menghamburkan kuasa 275 hp pada 5,600 rpm dan tork setinggi 375Nm pada 2,000 hingga 4,800 rpm.

Ia dipadankan dengan Subaru Performance Transmission bersama mod manual 8 kelajuan serta sistem pacuan VTD-AWD yang menawarkan pengagihan tork tidak setara dan boleh ubah secara elektronik.

Teknologi dan Ciri Keselamatan

Edisi khas ini mengekalkan rangkaian teknologi termaju Subaru termasuk sistem EyeSight X sebagai sistem bantuan pemanduan tahap tinggi.

Ciri ini merangkumi bantuan pemanduan tanpa tangan semasa kesesakan lalu lintas, kawalan kelajuan automatik sebelum selekoh dan kawalan kelajuan sebelum plaza tol.

Pemandu dibekalkan skrin meter LCD penuh bersaiz 12.3 inci yang mempunyai gegelung merah serta logo STI.

Sistem hiburan pula dikendalikan melalui skrin maklumat tengah bersaiz 11.6 inci yang menyokong sistem bunyi premium Harman Kardon dengan 10 pembesar suara.

Ciri keselamatan tambahan merangkumi beg udara perlindungan pejalan kaki, monitor pandangan pelbagai digital dan sistem pemantauan pemandu.

Harga Jualan

Bagi pasaran Jepun, Subaru Levorg 1.8L ditawarkan pada harga 4,686,000 Yen (RM119,821), manakala varian Levorg 2.4L yang lebih berkuasa dijual pada harga 5,368,000 Yen (RM137,260).

Bagi model sedan prestasi pula, Subaru WRX S4 2.4L boleh dimiliki pada harga 5,302,000 Yen (RM135,572).

Terdapat kos tambahan bagi pilihan warna tertentu, di mana warna Asteroid Gray Pearl melibatkan tambahan sebanyak 33,000 Yen (RM844) dan warna eksklusif Sunrise Yellow pula pada 55,000 Yen (RM1,406).

Subaru WRX S4 STI Sport R-Black Limited II

Subaru Levorg STI Sport R-Black Limited II

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here