
Toyota Probox merupakan van komersial ringan yang cukup popular di Negara Matahari Terbit Jepun.
Disebabkan praktikalitinya, rekaan Probox tidak banyak berubah sejak mula diperkenalkan pada tahun 2002.
Kini, Probox sudah masuk generasi kedua dan terdapat pakej yang ditawarkan oleh pihak ketiga untuk mengubah van ini menjadi sesuatu yang lebih klasik, mirip kepada Land Cruiser.
Lebih tepat lagi, Land Cruiser 60 Series dengan reka bentuk lampu petak.
Kit ini dinamakan sebagai RetroPro dan hadir dalam dua gaya iaitu Urban Classic dan LifeStyle Retro.
Kedua-dua kit ini menggantikan wajah Probox dengan muka kotak LC60 termasuklah lampu petak, jeriji ringkas, bampar khas serta lampu isyarat membelok jingga.
Selain itu, ia turut hadir dengan rekaan bonet rata dan fender depan baharu.
Perbezaan utama antara dua varian ini ialah kemasan di mana Urban Classic hadir dengan kemasan krom manakala LifeStyle Retro pula menggantikan aksen krom itu dengan warna hitam.
Selain itu, rupa retro Probox tersebut disempurnakan dengan rim lima jejari yang dibaluti tayar all-terrain, dan pilihan warna retro yang diinspirasikan daripada palet Land Cruiser klasik.
Tiada sebarang perubahan pada unit pacuan di mana Probox masih kekal dengan enjin 1.5L atau enjin hibrid pengecasan kendiri dan padanan sistem pacuan 4WD.
Menurut laman web rasmi Goosfam, kit RetroPro dijual pada harga bermula ¥660,000 (RM16,761), sementara kereta yang sudah siap bermula dari ¥2,980,000 (RM75,861) untuk versi LifeStyle Retro dan dari ¥3,145,000 (RM79,872) untuk versi Urban Classic.


































