
BMW M GmbH menambah varian baharu BMW M2 dengan sistem pacuan M xDrive yang juga buat pertama kali dalam sejarah model kompak tersebut.
Sebelum ini, BMW M2 hanya ditawarkan dengan sistem pacuan roda belakang dan teknologi pacuan semua roda tersebut membantu meningkatkan cengkaman, pecutan, kelincahan dan kestabilan pemanduan.
Dengan pengenalan M xDrive, BMW menawarkan pengalaman pemanduan model M yang sama, tetapi dengan kelebihan cengkaman tambahan dalam pelbagai keadaan jalan dan cuaca tanpa mengorbankan prestasi.
Pelancaran pasaran BMW M2 dengan M xDrive dijadualkan bermula pada penghujung musim panas 2026 (Ogos hingga September 2026).
3.0 liter M TwinPower Turbo dengan teknologi BMW M Ignite
BMW M2 dengan M xDrive dikuasakan enjin enam silinder sebaris 3.0 liter berkapasiti 2,993cc yang menghasilkan 353kW (480hp) pada 6,250rpm dan tork maksimum 600Nm dari 2,200 hingga 5,600rpm.
Enjin itu menggunakan teknologi M TwinPower Turbo yang merangkumi dua pengecas turbo mono skrol, sistem penyejukan udara cas tidak langsung dan suntikan bahan api bertekanan sehingga 350 bar.
Turut dilengkapi, sistem pemasaan injap boleh ubah sepenuhnya VALVETRONIC dan sistem pemasaan aci sesondol boleh ubah Double VANOS.
Turut diperkenalkan ialah teknologi BMW M Ignite, iaitu proses pembakaran pra ruang baharu yang dipatenkan oleh BMW.
Teknologi yang berasal daripada dunia perlumbaan itu akan diperkenalkan pada semua enjin enam silinder sebaris BMW M bermula pertengahan 2026.
Menurut BMW, proses pembakaran pra ruang itu mampu mengurangkan penggunaan bahan api dengan ketara ketika enjin beroperasi pada beban tinggi.
Pada masa sama, teknologi tersebut membantu memenuhi keperluan piawaian emisi EU7.
Walaupun lebih cekap, BMW menegaskan enjin itu masih mengekalkan ciri utama model M termasuk tindak balas segera, penghantaran kuasa linear pada putaran enjin tinggi dan bunyi enjin yang mengujakan.
Pengurangan penggunaan bahan api ketika pemanduan berprestasi tinggi juga membolehkan pemandu menikmati lebih banyak pusingan di litar dengan jumlah bahan api yang sama.
BMW menyatakan penggunaan bahan api gabungan adalah antara 10.3 hingga 10.4 liter bagi setiap 100km.
M xDrive dan Active M Differential tingkatkan cengkaman
Kuasa enjin disalurkan ke kedua dua gandar menerusi sistem pacuan semua roda M xDrive yang menggunakan klac berbilang plat kawalan elektronik di dalam kotak agihan kuasa.
Sistem itu membolehkan kuasa dibahagikan secara berubah ubah dan lancar antara gandar hadapan serta belakang mengikut keadaan pemanduan.
Walaupun menggunakan pacuan semua roda, BMW mengekalkan karakter pacuan belakang yang menjadi identiti model M.
Dalam pemanduan biasa, kuasa dihantar sepenuhnya ke roda belakang.
Sistem hanya mengagihkan kuasa ke roda hadapan apabila roda belakang memerlukan bantuan tambahan untuk mendapatkan cengkaman optimum.
M xDrive turut digabungkan dengan Active M Differential, kawalan cengkaman khusus M dan DSC atau Dynamic Stability Control.
Kesemua sistem itu berfungsi bersama bagi meningkatkan dinamik pemanduan, kestabilan arah dan tahap cengkaman.
Kotak agihan kuasa turut menggunakan unit kawalan khusus model serta fungsi had gelinciran roda terbina dalam.
Ia membolehkan perbezaan kelajuan putaran antara roda hadapan dan belakang diimbangi secara terus.
Proses ini berlaku tanpa memerlukan campur tangan daripada sistem DSC pusat. Hasilnya, tindak balas menjadi jauh lebih pantas ketika pemanduan berprestasi tinggi.
Menurut BMW, talaan casis model ini dibangunkan secara khusus. Langkah ini membolehkan M2 dengan M xDrive memanfaatkan kelebihan cengkaman tambahan dalam pelbagai keadaan.
Ini termasuklah ketika memandu di atas permukaan berais, bersalji, mahupun di litar perlumbaan.
Mod 2WD untuk pengalaman pemanduan lebih tulen
Pemandu boleh melaras karakter sistem M xDrive menerusi menu M Setup mengikut keadaan pemanduan dan pilihan individu.
Salah satu tetapan yang disediakan ialah mod 2WD dengan DSC dinyahaktifkan.
Dalam mod tersebut, kuasa dihantar sepenuhnya ke roda belakang bagi memberikan pengalaman pemanduan yang lebih tulen seperti model pacuan belakang tradisional.
Transmisi M Steptronic lapan kelajuan
Enjin berkuasa tinggi dipadankan dengan transmisi M Steptronic lapan kelajuan bersama Drivelogic yang direka untuk memaksimumkan penghantaran kuasa enjin dalam pelbagai situasi pemanduan.
Ledakan kuasa disalurkan ke jalan raya melalui rim aloi ringan M bersaiz 19 inci di hadapan dan 20 inci di belakang. BMW turut menawarkan tayar litar sebagai pilihan tambahan.
Lebih pantas daripada model pacuan belakang
Gabungan sistem M xDrive dan Active M Differential memberikan peningkatan ketara dari aspek prestasi pecutan.
BMW M2 dengan M xDrive mampu memecut dari 0 hingga 100km/j dalam masa 3.7 saat, iaitu 0.3 saat lebih pantas berbanding model pacuan belakang.
Menggunakan kaedah one foot rollout, masa pecutan tersebut berkurang kepada 3.4 saat.
Pecutan dari 0 hingga 200km/j dicapai dalam masa 12.8 saat atau 12.5 saat menggunakan kaedah one foot rollout.
Bagi pecutan pertengahan, model itu mampu memecut dari 80 hingga 120km/j dalam gear kelima dalam masa 3.7 saat.
Kelajuan maksimum dihadkan kepada 250km/j, namun meningkat kepada 285km/j apabila dipadankan dengan pakej pilihan M Driver’s Package.
Brek M Compound untuk kegunaan jalan raya dan litar
Kuasa membrek disediakan oleh sistem brek M Compound dengan kaliper tetap enam piston di hadapan dan angkup satu omboh di belakang.
Sistem brek itu direka untuk memberikan prestasi membrek optimum sama ada ketika digunakan di jalan raya mahupun di litar.
Warna BMW Individual Borusan Turkish Blue pertama kali untuk M2
Pelanggan boleh memilih daripada lima warna metalik, tiga warna biasa dan enam pilihan warna BMW Individual.
Salah satu pilihan baharu ialah BMW Individual Borusan Turkish Blue yang buat pertama kali ditawarkan untuk model M2.
Menurut BMW, warna khas tersebut menyerlahkan lagi reka bentuk luaran ekspresif BMW M2 dengan M xDrive.
M2 model BMW M paling laris pada 2025
BMW M2 Coupé merupakan model berprestasi tinggi paling laris BMW M GmbH sepanjang 2025.
Seperti model M2 lain, BMW M2 dengan M xDrive akan dipasang di kilang BMW Group San Luis Potosí di Mexico.
Pengeluaran dijadualkan bermula pada Ogos 2026, manakala pasaran utama model itu ialah Amerika Syarikat, Jerman dan China.
Ciri-ciri BMW M2 M xDrive
- M xDrive pertama kali ditawarkan pada BMW M2
- Sistem pacuan semua roda dengan Active M Differential
- Enjin enam silinder sebaris 2,993cc
- Teknologi M TwinPower Turbo
- Dua pengecas turbo mono skrol
- Teknologi pembakaran pra ruang BMW M Ignite
- Kuasa maksimum 353kW (480hp) pada 6,250rpm
- Tork maksimum 600Nm pada 2,200 hingga 5,600rpm
- Transmisi M Steptronic lapan kelajuan dengan Drivelogic
- Rim 19 inci hadapan dan 20 inci belakang
- Brek M Compound dengan kaliper enam piston hadapan dan satu piston belakang
- 0 hingga 100km/j dalam 3.7 saat
- 0 hingga 200km/j dalam 12.8 saat
- 80 hingga 120km/j dalam 3.7 saat
- Kelajuan maksimum 250km/j
- Kelajuan maksimum 285km/j dengan M Driver’s Package













































