
Mungkin tidak ramai yang biasa dengar dengan jenama Bashan yang berasal dari Chongqing China ini.
Untuk info, Bashan Motorcycle ditubuhkan pada tahun 2002 dan menghasilkan produk seperti motosikal elektrik, jentera tiga roda, ATV, mesin genset serta enjin sendiri.
Jenama itu dilapor bakal menghasilkan motosikal bersesaran besar, iaitu sebuah bobber hardtail berasaskan enjin klon Harley-Davidson 1,200 cc daripada Shineray.
Sama seperti Bashan, Shineray juga merupakan sebuah lagi jenama yang berasal dari Chongqing.
Enjin replika 1200 Evolution Sportster V-twin itu dihasilkan sejak tahun 2022 dan menariknya turut mempunyai pensijilan emisi Euro5+.
Ia berupaya menjana kuasa 60 hp pada 5,500 rpm dan 90.8 Nm pada 4,000 rpm dan kini digunakan pada model SWM Stormbreaker V1200 yang diinsipirasikan daripada Harley-Davidson Forty-Eight.
Model baharu Bashan ini telah menerima kelulusan jenis di China, menggunakan enjin 1,200 cc dan dipadankan dengan casis gaya hardtail yang retro klasik.
Berbanding model Stormbreaker, model baharu ini lebih ringan dengan berat sekitar 245 kg, dan dengan dimensi ukuran 2,319 mm ia juga lebih panjang berbanding Stormbreaker.
Biarpun olskool, model ini tetap dilengkapi dengan sistem suntikan bahan api, sistem brek cakera depan dan belakang, sedrta ABS dua-saluran.
Unit prototaip telah dipertontonkan di China pada tahun lepas, sementara versi serba hitam pula dipamerkan di Canton Fair 2026 di Guangzhou tempoh hari.

































