
Langkah membatalkan projek EV membolehkan Honda memberikan tumpuan kepada perluasan penawaran model hibrid.
Menjelang akhir dekad ini, Honda mahu melabur hampir AS$28 bilion (RM114 bilion) untuk melancarkan sehingga 15 buah model hibrid baharu.
Salah satu daripada model tersebut ialah model crossover SUV berasaskan sedan segmen D Honda Accord menurut laporan daripada Motor1.
Model baharu itu dijangka memasuki fasa produksi sekitar pertengahan 2029 dan dihasilkan di kilang Honda Marysville, Ohio.
Dalam masa yang sama, Honda kini sedang bersiap untuk memperkenalkan sedan Accord yang direka semula menampilkan reka bentuk serba baharu, dan dipacu sistem hibrid generasi berikutnya seperti yang digunakan pada Civic dan juga CR-V.
Difahamkan, kedua-dua model sedan dan SUV ini bakal dilancarkan serentak.
Rupa paras model SUV baharu itu pernah dipertontonkan oleh Honda pada bulan Mei lalu menerusi model Honda Hybrid Sedan Prototype.
Antara ciri yang boleh dilihat termasuklah lampu utama lebih nipis, lampu belakang baharu, struktur jeriji yang direka semula dan garis bumbung yang lebih melandai ke belakang.
Dengan adanya Accord SUV ini, Honda mempunyai peluang untuk bersaing dengan Toyota Crown Crossover.
Ini bukanlah kali pertama Honda menawarkan model crossover sedan.
Jika anda masih ingat sekitar tahun 2010 Honda pernah melancarkan model Accord Crosstour.
Model ini dipacu enjin bentangan V6 3.5 liter menghasilkan 271 hp, dipadankan dengan pilihan transmisi manual 5-kelajuan atau automatik 6-kelajuan, dan pilihan pacuan roda depan (FWD) atau pacuan empat roda (4WD).
Berbanding sedan biasa, Accord Crosstour menawarkan posisi tempat duduk dan jarak kelegaan tanah yang lebih tinggi dan ruang kargo sebesar 727 liter.


































