Utama Berita Automotif Honda X-ADV 2027 untuk Eropah, 4 warna baharu, boleh tambah Akrapovič

Honda X-ADV 2027 untuk Eropah, 4 warna baharu, boleh tambah Akrapovič

5

Sejak diperkenalkan pada 2017, Honda X-ADV berjaya mencipta identitinya sendiri sebagai model yang menggabungkan karakter motosikal kembara dengan praktikaliti sebuah skuter.

Gabungan itu menjadikannya antara model paling unik dalam barisan Honda, malah turut mendapat sambutan baik di Eropah.

Bagi model tahun 2027, Honda memberikan sentuhan baharu menerusi pilihan warna terkini bagi memastikan X-ADV terus kelihatan segar.

Empat warna baharu tarikan utama

 

Bagi model 2027, Honda memperkenalkan tiga warna standard baharu iaitu Mat Warm Ash Metallic, Pearl Deep Mud Gray dan Mat Ballistic Black Metallic.

Turut ditawarkan ialah varian Special Edition dalam kemasan Grand Prix Red yang dipadankan dengan grafik bersaiz besar serta kemasan perak berkontras tinggi, sekali gus menyerlahkan lagi penampilan lasak model berkenaan.

Rekaan dan kelengkapan premium

Walaupun menerima pilihan warna baharu, X-ADV masih mengekalkan reka bentuk agresif yang diperkenalkan pada model 2025.

Lampu hadapan projektor LED berkembar bersama Daytime Running Lights (DRL) dan lampu isyarat terbina dalam terus menjadi identiti model ini.

Honda turut meneruskan penggunaan bahan DurabioTM pada bahagian fairing dan skrin angin, selain beberapa komponen yang menggunakan bahan kitar semula sebagai usaha mengurangkan impak terhadap alam sekitar.

Skrin angin boleh dilaraskan menggunakan sebelah tangan menerusi tiga kedudukan dengan julat pelarasan setinggi 139 mm.

Turut disediakan ialah port pengecas USB-C serta petak simpanan tambahan di bahagian hadapan.

Ruang simpanan bawah tempat duduk berkapasiti 22 liter boleh memuatkan sebuah topi keledar jenis penuh.

Paparan meter TFT berwarna 5 inci bersama sistem Honda RoadSync membolehkan sambungan telefon pintar untuk fungsi navigasi, panggilan telefon dan kawalan muzik.

X-ADV juga terus dilengkapi Smart Key, Cruise Control, Emergency Stop Signal (ESS) serta lampu isyarat yang dimatikan secara automatik.

Enjin dan DCT tanpa perubahan

Kuasa dijana enjin dua silinder selari 745 cc penyejukan cecair SOHC yang menghasilkan 58.6 ps pada 6,750 rpm serta tork maksimum 69 Nm pada 4,750 rpm.

Enjin itu dipadankan dengan transmisi Dual Clutch Transmission (DCT) enam kelajuan yang menerima talaan lebih lancar ketika bergerak perlahan sejak model 2025.

Sistem Throttle By Wire (TBW) menawarkan lima mod tunggangan iaitu Sport, Standard, Rain, Gravel dan User, manakala Honda Selectable Torque Control (HSTC) menyediakan tiga tahap kawalan cengkaman bersama pilihan OFF.

Penggunaan bahan api dianggarkan 3.6 liter/100 km, membolehkan jarak perjalanan melebihi 360 km menggunakan tangki bahan api berkapasiti 13.2 liter.

Casis karakter kembara

X-ADV menggunakan rangka tubular steel diamond yang dipadankan dengan fork USD 41 mm, suspensi belakang Pro-Link serta lengan ayun aluminium.

Roda jejari bersaiz 17 inci di hadapan dan 15 inci di belakang dipadankan dengan suspensi jarak gerak panjang serta kelegaan bumi 165 mm bagi meningkatkan keupayaan X-ADV meredah permukaan yang lebih mencabar.

Tayar bercorak blok pula membantu meningkatkan keselesaan tunggangan di laluan berpermukaan kasar.

Sistem brek pula menggunakan cakera berkembar 296 mm bersama angkup radial empat omboh di hadapan dan ABS dua saluran.

Aksesori untuk pelbagai keperluan

Honda turut menawarkan pelbagai aksesori tulen menerusi pakej Adventure, Comfort, Style, Travel dan Urban.

Selain itu, pelanggan turut boleh memilih pelbagai aksesori tambahan seperti kotak belakang, sistem penggera, penyandar penumpang serta ekzos Akrapovič Slip-on.

Spesifikasi Honda X-ADV 2027 Eropah

  • Enjin: 745 cc, 2 silinder selari, SOHC, penyejukan cecair
  • Kuasa maksimum: 58.6 ps@6,750 rpm
  • Tork maksimum: 69 Nm@4,750 rpm
  • Transmisi: DCT enam kelajuan
  • Mod tunggangan: Sport, Standard, Rain, Gravel dan User
  • HSTC: 3 tahap + OFF
  • Tangki bahan api: 13.2 liter
  • Penggunaan bahan api: 3.6 L/100 km
  • Kelajuan maksimum: 168 km/j
  • Suspensi depan: Fork USD 41 mm
  • Suspensi belakang: Monoshock Pro-Link
  • Brek depan: Cakera berkembar 296 mm, angkup radial empat omboh
  • Brek belakang: Cakera 240 mm
  • ABS: 2 saluran
  • Rim: Jejari 17 inci depan, 15 inci belakang
  • Kelegaan bumi: 165 mm
  • Ketinggian pelana: 820 mm
  • Berat basah: 237 kg
  • Ruang simpanan bawah tempat duduk: 22 liter
  • Skrin meter: TFT berwarna 5 inci
  • Sambungan telefon pintar: Honda RoadSync
  • Port pengecas: USB-C
  • Lampu hadapan: LED dengan DRL

TIADA KOMEN

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here