Utama Berita Automotif “Mana pembunuh suami saya, nyawa balas nyawa,” isteri penunggang motosikal

“Mana pembunuh suami saya, nyawa balas nyawa,” isteri penunggang motosikal

34

“Mana pembunuh suami saya, nyawa balas nyawa,” kata isteri kepada Amirul Hafiz Omar, 33, penunggang motosikal yang maut dirempuh pemandu dipercayai mabuk di Jalan Raya Barat, di Klang pada Rabu.

Nor Nadia Abdul Majid yang tiba di Mahkamah Majistret Klang pada jam 9.53 pagi Rabu, diiringi peguamnya, Mohd Faizi Che Abu.

Ibu kepada tiga anak yang masih kecil itu, memakai jubah hitam kelihatan sugul dan seakan-akan menahan diri daripada menangis ketika melangkah masuk ke mahkamah.

Turut hadir memberi semangat kepada isteri mangsa ialah aktivis, Rafidah Ibrahim dan ahli perniagaan, Albert Tei Jiann Cheing.

Seorang lelaki yang disiasat berhubung insiden memandu dalam keadaan mabuk dan pengaruh dadah hingga menyebabkan kematian di Jalan Raya Barat dibawa ke Mahkamah Majistret Klang pada Rabu.

Suspek berusia 20-an, memakai baju T berkolar warna putih diiringi polis tiba pada jam 8.53 pagi.

Pada Selasa, Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Lim Jit Huey mengesahkan suspek berkenaan akan didakwa atas pertuduhan berkaitan insiden tersebut.

Pada Ahad, seorang penunggang motosikal maut selepas dirempuh kereta dipandu individu dipercayai berada bawah pengaruh alkohol dan dadah dalam kemalangan membabitkan tiga kenderaan di Jalan Raya Barat, Klang, pada jam 11.40 pagi.

Siasatan awal mendapati kereta yang dipandu seorang lelaki berusia 20-an, dipercayai memotong beberapa kenderaan sebelum melanggar motosikal mangsa.

Akibat pelanggaran itu, mangsa, lelaki tempatan berusia lingkungan 30-an tercampak ke atas sebuah Perodua Myvi sebelum disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.

Justeru, seorang lelaki ditahan dan direman selama empat hari bagi membantu siasatan.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Lim Jit Huey berkata, siasatan dibuat mengikut Seksyen 44(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

 

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here