
Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman memberi amaran keras kepada pemandu mabuk atau di bawah pengaruh dadah supaya berfikir panjang sebelum memandu susulan peningkatan operasi bersepadu di seluruh negara.
Pengarah JSPT Bukit Aman, Datuk Seri Muhammed Hasbullah Ali berkata pihaknya akan meningkatkan operasi bersepadu yang berimpak tinggi dengan sekatan jalan raya (SJR) secara meluas khususnya di lokasi dan waktu berisiko tinggi seperti pada lewat malam serta hujung minggu.
“Operasi sebegini bukan sahaja mampu mengesan pesalah secara langsung, malah memberikan kesan pencegahan psikologi (deterrence effect) kepada pengguna jalan raya.
“Kehadiran pihak berkuasa secara konsisten di lokasi dan waktu berisiko tinggi turut meningkatkan tahap pematuhan terhadap undang-undang,” katanya kepada Harian Metro.
Beliau berkata, walaupun statistik menunjukkan kemalangan akibat pemandu di bawah pengaruh rendah, kehilangan nyawa memberikan kesan mendalam kepada masyarakat khususnya keluarga mangsa.
Katanya, berdasarkan statistik JSPT pada 2024 sebanyak 27 kemalangan maut melibatkan pemandu bawah pengaruh alkohol atau dadah dan 31 kes sepanjang tahun lalu.
“Walaupun peningkatan ini tidak terlalu ketara, setiap kes yang berlaku membawa implikasi kehilangan nyawa yang amat serius dan seharusnya tidak dipandang ringan.
“Hakikatnya, kes-kes sebegini adalah berpunca daripada tingkah laku yang boleh dielakkan, dan justeru itu JSPT memandang perkara ini dengan penuh keprihatinan dan kesungguhan,” katanya.
Mengulas mengenai kekangan dihadapi JSPT dalam isu pemandu mabuk beliau berkata, tiada masalah besar dari sudut undang-undang mahupun siasatan.
Katanya, kerjasama erat dengan Jabatan Peguam Negara (AGC) membantu memastikan setiap pendakwaan mendapat perhatian sewajarnya.





























