
Subaru of America, Inc. memperkenalkan Subaru Getaway 2027 di Pameran Auto Antarabangsa New York 2026 yang dibangunkan melalui kerjasama dengan Toyota.
Kenderaan elektrik ini merupakan model EV keempat dalam portfolio Subaru yang semakin berkembang dan merupakan model pengeluaran Subaru yang paling berkuasa setakat ini.
Direka dengan tiga baris tempat duduk, SUV ini memfokuskan kepada utiliti mesra keluarga dan kepelbagaian untuk aktiviti luar.
Subaru Getaway dijadualkan mula berada di pusat jualan di Amerika Syarikat bermula akhir tahun 2026.
Rangkaian Kuasa dan Prestasi Elektrik
Subaru Getaway 2027 dilengkapi dengan motor elektrik pada gandar hadapan dan belakang yang menghasilkan output keseluruhan sebanyak 420 kuasa kuda.
Sistem ini membolehkan kenderaan memecut dari 0 ke 96 km/j dalam masa kurang daripada 5 saat.
Untuk keupayaan pemanduan off-road, ia hadir dengan sistem pacuan semua roda Subaru Symmetrical All-Wheel Drive sebagai ciri standard.
Keupayaan ini diperkukuhkan lagi dengan kelegaan tanah setinggi 210 mm serta sistem X-MODE Dual-Mode yang merangkumi mod Snow/Dirt dan Deep Snow/Mud, Grip Control, serta Downhill Assist Control.
Selain itu, SUV ini mempunyai kapasiti menunda sehingga 1,587 kg.
Bateri dan Pengecasan
Bagi model pelancaran, Subaru Getaway menggunakan bateri litium-ion berkapasiti tinggi 95.8 kWj yang menawarkan jarak gerak melebihi 482 km dengan sekali cas.
Ia dilengkapi dengan port pengecasan standard yang serasi dengan NACS (North American Charging Standard).
Dengan kelajuan pengecasan sehingga 150 kW, bateri boleh dicas dari 10 peratus ke 80 peratus dalam tempoh kira-kira 30 minit.
Sistem on-board battery preconditioning juga disertakan bagi memastikan prestasi pengecasan kekal optimum walaupun dalam cuaca sejuk melampau sehingga -10 darjah Celsius.
Menjelang 2027, Subaru juga bakal menawarkan model jarak standard dengan bateri 77.0 kWj.
Rekabentuk Luaran dan Dalaman
Penampilan luaran Getaway menampilkan elemen penggayaan EV generasi baharu Subaru dengan lampu signatur unik dan logo enam bintang bercahaya.
Lampu siang hari turut berfungsi sebagai penunjuk status pengecasan. SUV ini turut dilengkapi rel bumbung jenis tangga, pemegang pintu jenis flush serta pilihan rim bersaiz 19 inci atau 20 inci.
Di bahagian dalam, Getaway menawarkan ruang yang luas untuk tujuh penumpang dengan kerusi baris kedua jenis bench, atau enam penumpang jika memilih kerusi kapten.
Kerusi baris kedua mempunyai fungsi lipatan satu sentuhan untuk akses ke baris ketiga, manakala baris ketiga mempunyai fungsi lipatan kuasa.
Ruang kargo sebesar 1,291 liter apabila baris ketiga dilipat dan 450 liter apabila semua kerusi ditegakkan.
Ciri lain termasuk kawalan iklim tiga zon, lampu suasana yang boleh diubah suai mengikut mod pemanduan dan bumbung suria panoramik.
Teknologi dan Keselamatan
Sistem hiburan dikendalikan melalui skrin sentuh Subaru Multimedia 14 inci dengan sambungan Apple CarPlay dan Android Auto tanpa wayar, serta gugusan instrumen digital 12.3 inci.
Dari aspek keselamatan, setiap unit dilengkapi sistem bantuan pemandu EyeSight yang merangkumi Pre-Collision Braking, Blind Spot Monitors, Lane Departure Alert, Emergency Stop Assist, Traffic Jam Assist, Lane Change Assist dan Adaptive Cruise Control.
Sesetengah varian turut menerima tambahan ciri seperti Front Cross Traffic Alert dan Intelligent Park Assist.
Spesifikasi Subaru Getaway 2027
- Rangkaian Kuasa: Dua motor elektrik (hadapan dan belakang)
- Kuasa Maksimum: 420 hp (425 ps)
- Sistem Pacuan: Subaru Symmetrical All-Wheel Drive
- Pecutan 0-96 km/j: Kurang 5 saat
- Kapasiti Bateri: 95.8 kWj (Jarak Jauh) / 77.0 kWj (Jarak Standard)
- Jarak Gerak: Melebihi 482 km
- Kelegaan Tanah: 210 mm
- Kapasiti Menunda: 1,587 kg
- Kelajuan Pengecasan DC: Sehingga 150 kW
- Masa Pengecasan (10-80%): Kira-kira 30 minit
- Konfigurasi Tempat Duduk: 6 atau 7 penumpang
- Ruang Kargo: 450 liter (semua kerusi ditegakkan) / 1,291 liter (baris ketiga dilipat)
- Saiz Rim: 19 inci atau 20 inci
































